LTC Akan Beroperasi Sepenuhnya Awal Tahun Depan

Diterbitkan: Isnin, 9 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (LTC) akan mula beroperasi sepenuhnya awal tahun depan selepas semua akta dan pindaan diluluskan oleh kerajaan.

Pengerusi LTC, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, sehingga kini suruhanjaya itu tidak dapat memainkan peranan sebenar ekoran masih ada perubahan undang-undang berkaitan pengangkutan awam darat yang belum diputuskan kedudukannya.

Katanya, LTC sehingga kini bergantung kepada Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam 2010 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang diluluskan pada sesi Parlimen lepas.

"Ada beberapa akta yang masih belum dapat kelulusan atau pun masih dipinda oleh kerajaan, insya-Allah kita akan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Pengusaha Bas dan Kenderaan Ringan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Isnin.

Pada majlis yang disertai seramai 50 pengusaha bas dan kenderaan awam dari seluruh negara itu turut disertai oleh Ketua Pegawai Ekskutif LTC, Mohd Nur Akmal dan Ketua Pegawai Operasi LTC, Shahril Mokhtar.

LTC ditubuhkan bagi memainkan peranan utama dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam negara yang merupakan salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).

Objektif utama penubuhan suruhanjaya itu adalah bagi membentuk dasar-dasar berkaitan pengangkutan awam, mengawal selia dan merancang perkhidmatan rel, bas dan teksi serta pengangkutan barangan melalui rel dan jalan raya.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, pelan induk yang dijalankan bagi memastikan usaha menaiktaraf pengangkutan awam darat di negara ini sedang dilaksanakan.

Beliau menjangkakan usaha yang dijalankan secara berperingkat-peringkat itu akan mencapai sekurang-kurangnya 13 peratus sehingga akhir tahun ini dan menjangkakan akan siap sepenuhnya pada tahun 2012.

Sementara itu, mengenai taklimat tersebut, Syed Hamid berkata, tujuan utama ia diadakan bukan untuk mencari kesalahan sesiapa tetapi lebih kepada untuk mendengar masalah semua pengusaha dan cuba mencari jalan penyelesaian kepada semua kemelut yang timbul.

"Kita cuba mendengar semua permasalahan dan isu yang timbul dan semua perkara yang dinyatakan akan direkodkan sebagai data untuk diselesaikan secara berhemah," katanya.

Katanya lagi, walaupun perjumpaan hari ini mendapat pelbagai maklum balas dan aduan masalah, beliau menyifatkan perjumpaan tersebut sebagai satu kejayaan kerana disertai oleh pelbagai pihak.

"Ini yang kita mahukan, jika sesuatu perkara hendak diselesaikan, kita perlukan maklum balas dan cadangan daripada pihak pengusaha dan pengendali supaya semua permintaan dan kehendak mereka dapat dipertimbangkan," ujarnya.

Katanya, pada taklimat itu, antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang, perlesenan, insurans dan isu bahan api.

Syed Hamid juga berjanji, satu perjumpaan yang lebih spesifik untuk pengusaha bas sekolah, teksi dan pengangkutan awam lain akan diadakan pada masa depan untuk memberi ruang kepada mereka untuk mengadu masalah.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan