Jentera Penerangan Umno Setuju Perpaduan Umno-Pas:Ahmad Maslan

Diterbitkan: Isnin, 9 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jentera penerangan Umno rata-rata menyatakan sokongan terhadap perpaduan antara Umno dan PAS yang dilihat bukan sahaja menguntungkan orang Melayu tetapi turut memberi manfaat kepada semua kaum di negara ini, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata majoriti orang Melayu di negara ini juga sudah tentu bersetuju tentang cadangan perpaduan itu kerana ia tidak akan merugikan sesiapa.

Sehubungan itu, beliau berkata usaha perpaduan itu perlu difikirkan secara serius oleh kedua-dua pihak sempena kedatangan bulan Ramadan dalam masa sehari lagi.

"Alangkah eloknya sempena bulan Ramadan ini kita memikirkan secara serius tentang perkara-perkara yang ada hubung kait untuk kebaikan umat dan kalau ada usaha-usaha ke arah perpaduan itu, semua rakyat di Malaysia ini untung, itu yang penting.

"Bulan Ramadan ini juga bulan yang amat baik untuk kita membuat genjatan senjata, jangan mengata orang, jangan memfitnah dan jangan menimbulkan isu-isu sensitif.

"Bulan ini juga untuk kita melupakan perkara yang menimbulkan perpecahan, pada saya tidak pernah perpaduan itu merugikan dan tidak pernah perpecahan itu menguntungkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai isu-isu semasa kepada 457 ketua penerangan Umno bahagian dari seluruh negara oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, Ahad.

Ahmad berkata jika bangsa terbesar itu berpadu dan berpakat untuk tidak lagi berselisih seperti yang telah berlaku, seluruh negara ini akan menjadi lebih maju dari sekarang.

"Perpaduan ini bukan hanya dilihat dari sudut untung bangsa Melayu tetapi untung seluruh rakyat Malaysia, yang rugi hanya beberapa pemimpin DAP dan beberapa pemimpin PKR (Parti Keadilan Rakyat)," katanya.

Sementara itu, sesi taklimat tertutup selama kira-kira lima jam itu turut disertai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara isu yang diberi penjelasan termasuk mengenai gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan dan ekonomi, Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) serta rasional subsidi, kata Ahmad.

"Sesi penerangan mengikut negeri-negeri telah selesai, jadi ini kali pertama mereka (ketua penerangan bahagian) dikumpulkan di ibu negara bagi sesi penerangan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita juga berhasrat untuk mengadakan sesi taklimat seperti ini mungkin tiga atau empat bulan sekali selepas ini iaitu sebagai penambahan kepada siri taklimat oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang diadakan setiap tahun," kata Ahmad. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan