Tindakan Kerajaan Ke Atas Penarik Kereta Dapat Maklum Balas Berbeza

Diterbitkan: Ahad, 8 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: "Saya tidak sedar bahawa kereta saya telah ditarik balik kerana tidak menerima sebarang notis dari bank saya."

"Saya dapati kereta saya telah hilang apabila menjenguk melalui tingkap apartmen saya tengah hari itu," kata seorang pemilik kenderaan dalam aduannya kepada Pusat Aduan Pengguna (NCCC).

Lelaki itu bukan bersendirian. Ratusan, jika tidak ribuan pemilik kenderaan mengalami masalah yang sama setiap bulan kerana "hilang" pemilikan kepada orang asing yang kemudiannya dikenali sebagai penarik kenderaan.

Bagaimanapun, mimpi ngeri itu dijangka tamat apabila Parlimen baru-baru ini meluluskan Rang Undang-undang Sewa Beli (Pindaan) 2010 yang bertujuan bagi melindungi para pembeli.

Ia juga memerlukan penarik kenderaan untuk berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan manakala institusi kewangan juga diperlukan bagi mendapatkan perintah mahkamah sebelum mereka dapat menarik balik kenderaan yang gagal membuat pembayaran.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk N. Marimuthu percaya ia merupakan langkah yang baik bagi mengawal penarikan balik kenderaan.

"Kami menyambut baik langkah kerajaan dan berharap tidak timbul sebarang masalah membabitkan penarik kenderaan. Melalui pendaftaran, mereka akan dapat dikenal pasti dan dibawa ke mahkamah," katanya.

Marimuthu berkata terdapat banyak masalah berkaitan dengan penarikan balik kenderaan termasuk caj bank yang tinggi bagi penarikan balik dan penyimpanan kenderaan yang dirampas, pengambilan samseng untuk menarik kenderaan melalui ancaman dan kekerasan dan begitu juga dengan ejen yang menipu orang awam dengan mengambil yuran tempahan pelanggan mereka.

Katanya Fomca menerima banyak aduan seperti itu.

Presiden Persatuan Penasihat Pengguna Malaysia M. Varatharajoo berkata kerajaan perlu turun padang dan menjelaskan kepada orang ramai mengenai garis panduan baru supaya mereka mendapat gambaran mengenai keadaan yang sebenar.

Katanya pihak berkuasa bukan sahaja perlu menekankan berhubung tindakan yang perlu diambil ke atas pesalah tetapi menjelaskan garis panduan itu bagi membolehkan orang ramai mengikutinya.

"Kami telah menerima dua hingga tiga kes Mei lepas dan aduan kebanyakannya mengenai masalah pendaftaran kenderaan. Peniaga tidak sedar mengenai prosedur rasmi, peraturan dan undng-undang dan mereka hanya berminat untuk menjual kenderaan mereka," katanya.

Sementara kerajaan berharap untuk menghentikan tindakan negatif di pihak penarik kereta, wujud kebimbangan bahawa keadaan itu tidak akan menjadi lebih baik.

Menurut seorang pegawai kanan undang-undang NCC M. Matheevani, kadar dan jumlah aduan berhubung kegiatan menarik balik kenderaan semakin meningkat dan ia mungkin meningkat lagi disebabkan peningkatan kadar faedah.

"Kami telah dimaklumkan oleh bank dan pegawai jualan bahawa kadar faedah bagi sewa beli meningkat melebihi empat peratus dan akan terus meningkat lagi. Ini satu perkembangan yang tidak sihat kepada kami sebagai pengguna dan begitu juga terhadap sosio ekonomi kami.

"Jika kita lihat bagaimana ia memberi kesan kepada orang ramai, dengan peningkatan faedah, ia menambah beban untuk membayar faedah atas pinjaman. Para pengguna akhirnya membayar lebih untuk faedah," katanya.

Sambil memberikan contoh, beliau berkata mereka yang membeli kenderaan tahun lepas terpaksa membayar RM530 sebulan manakala bagi mereka yang mengambil kenderaan tahun ini terpaksa membayar RM650 bagi kenderaan yang sama jika kadar faedah terus meningkat.

Beliau berkata penarikan balik kenderaan memberi kesan ke atas bajet peribadi seseorang individu, iaitu menambah perbelanjaan mereka disebabkan yuran penarikan balik dan penyimpanan kenderaan.

"Sebab itu, ramai orang tidak mampu untuk menebus semula kenderaan mereka dengan segera," katanya.

Beliau berkata sementara akta baru melindungi mereka yang sudah membayar lebih satu pertiga daripada pinjaman mereka, kenyataannya majoriti mereka yang terpaksa berhempas pulas dengan pinjaman sewa beli adalah mereka yang tidak termasuk di bawah kategori orang yang baru bermula dan remaja.

Pusat itu menerima 632 aduan terhadap penarik kereta sejak 2008 hingga sekarang, antaranya caj yang tinggi (132), pengendalian yang lemah (112), penarikan balik tanpa notis sewajarnya (102), penarik kereta yang tidak memperkenalkan diri mereka (89), kehilangan barang-barang di dalam kenderaan (86), kehilangan aksesori dan alat ganti kenderaan (84) dan kegagalan untuk menentukan lokasi kenderaan selepas penarikan balik (27).

NCCC juga mempunyai garis panduan kepada pembeli kenderaan melalui lama webnya di http://www.nccc.org.my/v2/index.php/kereta-ditarik. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan