Pelajar Hidapi Penyakit Kronik Ditimbang Bantuan Wang Ihsan

Diterbitkan: Sabtu, 7 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BACHOK: Pelajar yang menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis, lemah jantung dan buah pinggang akan dipertimbangkan untuk diberikan bantuan daripada wang ihsan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa itu datang.

"Mereka perlu dibantu bagi meringankan beban keluarga dan pelajar terbabit," katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan wang ihsan di Sekolah Menengah Kebangsaan Long Yunus di sini, Sabtu.

Pada majlis itu, 1,303 pelajar tingkatan enam dari enam buah sekolah menengah di daerah ini menerima wang ihsan, masing-masing sebanyak RM200.

Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata sebanyak RM15 juta daripada RM25 juta wang ihsan yang disalurkan kepada Kelantan setakat ini, diperuntukkan untuk bantuan kepada 70,000 pelajar yang memerlukan.

"Pengagihannya (kepada pelajar) dijangka selesai menjelang hari raya aidilfitri bulan depan," katanya.

Sementara sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk diagihkan kepada waris si mati yang terkorban dalam bencana alam seperti banjir dan ribut serta kematian anggota keluarga yang ramai akibat kemalangan jalan raya manakala bakinya RM5 juta akan diagihkan berasaskan keperluan semasa.

Beliau memberi jaminan pengagihan wang berkenaan adalah adil dan telus tanpa pilih kasih dan fahaman politik. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan