Public Mutual Bhd Bukan Anak Syarikat Amanah Raya

Diterbitkan: Jumaat, 6 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) menegaskan bahawa Public Mutual Bhd (PMB) bukanlah anak syarikatnya.

"Syarikat ini juga tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat judi di dalam mahupun di luar negara," kata AmanahRaya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Amanah Raya hanya menjalankan perniagaan berkaitan pengurusan harta pusaka, amanah hartanah, pelaburan dan bank pelaburan. Ia berkata demikian berhubung dakwaan tidak benar terhadap AmanahRaya yang dikeluarkan oleh laman blog Mahaguru58, Harakah Online Daily dan akhbar Harakah Mei lalu.

Laman blog Mahaguru58 telah mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai hubungan Amanah Raya dengan PMB, dengan mendakwa PMB adalah anak syarikat AmanahRaya dan AmanahRaya melabur wang amanah pegangannya di dalam bursa saham yang melibatkan syarikat perjudian Magnum Bhd.

Manakala dua artikel dalam media Harakah bertajuk "ARB (AmanahRaya) labur dalam Magnum: Harussani diminta beri pandangan" dan "Mana mufti, perkasa dalam isu arak, judi babitkan Perkeso dan ARB", yang mana artikel-artikel ini mendakwa Amanah Raya memiliki saham dalam syarikat Magnum Corporation dan Carlsberg.

Amanah Raya menjelaskan bahawa syarikat amanahnya, AmanahRaya Trustee Bhd menjalankan perniagaan terasnya seperti yang dibenarkan di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 yang menawarkan perkhidmatan Peramanahan Korporat konvensional dan syariah.

"Peranan, tugas dan tanggung jawab Amanah Raya sebagai pemegang amanah adalah jelas bagi skim unit saham amanah seperti yang termaktub dalam undang-undang serta garis panduan oleh pihak berwajib dan juga Surat Ikatan," katanya.

Amanah Raya berkata syarikat ini antara lain juga menyediakan perkhidmatan yang komprehensif termasuk 'custodian' kepada syarikat pengurusan unit amanah.

Ia menambah bahawa aset yang dimiliki oleh skim amanah adalah di bawah nama AmanahRaya sebagai pemegang amanah dan bukan secara pelaburan terus.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan