Malaysia Tidak Akan Tunduk Desakan Untuk Gugurkan Kes Liwat Anwar - Muhyiddin

Diterbitkan: Jumaat, 6 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI SIPUT: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Malaysia tidak akan tunduk terhadap campur tangan dan desakan mana-mana pihak atau negara luar berhubung kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata gesaan itu merupakan satu tindakan sia-sia serta menunjukkan Anwar seorang yang terdesak sehingga menggunakan 'talian hayat' dan sentiasa bersubahat dengan rakan-rakan luarnya demi kepentingannya.

"Sebagai bekas timbalan perdana menteri, Anwar sepatutnya tahu tetapi soal yang berbangkit menunjukkan apakah dia begitu 'desperate' (terdesak) sehingga meminta tolong dan 'tali hayat' daripada orang Amerika dan kawan baiknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Agrofest Perak 2010 di Ladang Infoternak di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas naib presiden Amerika Syarikat Al Gore dan bekas presiden Bank Dunia Paul Wolfowitz dalam akhbar Asian Wall Street Journal yang mahu kerajaan Amerika campur tangan dalam kes liwat Anwar yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Muhyiddin berkata desakan seumpama itu tidak wajar dibuat kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan mempunyai undang-undang serta sistem perundangan yang dilaksanakan dengan baik.

Muhyiddin berkata pemimpin seperti Al Gore dan Wolfowitz perlu menghormati undang-undang dan sistem yang ada pada sesebuah negara sepertimana mereka menghormati undang-undang di negara mereka sendiri.

"Kita mematuhi undang-undang dan apabila Anwar dibawa ke muka pengadilan dan kini sedang dibicarakan, saya hairan mengapa dia nak minta tolong orang luar, macam dah 'desperate' (terdesak) sangat. Apakah dia tidak boleh pertahankan kedudukannya sendiri, atau rasa kes dia sangat lemah.

"Saya tidak mahu prejudis kerana kes masih dalam mahkamah," katanya.

Beliau berkata Anwar sebagai bekas timbalan perdana menteri mengetahui bahawa di dalam sistem perundangan negara, tidak ada kuasa luar yang boleh mengganggu-gugat apa yang dilakukan dalam negara itu.

Sementara itu, mengenai keputusan mahkamah hari ini yang membenarkan permohonan anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan daripada Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan petisyen yang difailkan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim, Muhyiddin berkata pembangkang perlu menerima keputusan mahkamah itu.

"Kita (BN) sejak dari dulu lagi mengamalkan politik yang bersih, mengikut undang-undang pilihan raya serta bersandarkan kepada Akta Suruhanjaya Pilihan Raya dalam setiap pilihan raya sama ada kecil dan besar...kita tahu keputusan yang dibuat rakyat adalah tepat dengan memilih calon kita atas keyakinan terhadap BN," katanya.

Beliau berkata keputusan mahkamah itu juga membuktikan BN memenangi kerusi Parlimen itu atas amalan bersih dan bukan kerana rasuah, penyalahgunaan kuasa atau tidak mematuhi peraturan pilihan raya.

Apa yang lebih penting sekarang Kamalanathan tidak lagi 'diganggu' oleh masalah di mahkamah dan beliau boleh memberi komitmen penuh terhadap tanggungjawabnya dan amanah kepada penduduk Hulu Selangor, katanya.

"Laporan yang saya terima, beliau tahu tugasnya dan laksanakan apa yang patut beliau lakukan sebagai wakil rakyat. Kita memang pantau dan beliau merupakan antara wakil rakyat baru yang cergas.

"Beliau juga sedar situasi politik sekarang yang memerlukan wakil rakyat komited dan tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya," katanya.

Mengikut keputusan mahkamah hari ini, Zaid yang tewas dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor pada April lepas gagal mendapatkan pengisytiharan mahkamah supaya keputusan pilihan raya itu terbatal dan tidak sah.

Zaid, yang tewas pada pilihan raya 25 April itu dengan majoriti 1,725 undi kepada Kamalanathan, memohon supaya mahkamah mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu batal dan tidak sah kerana mendakwa terdapat perbuatan rasuah dalam bentuk sogokan dan janji kepada pengundi. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan