Umno Bahagian Rancak Daftar Pemilih Baru - Shafie

Diterbitkan: Khamis, 5 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGI: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata semua Umno bahagian telah mula merancakkan aktiviti mendaftarkan pengundi baru baik daripada kalangan anggota parti mahupun orang biasa.

Beliau berkata menerusi pasukan khas yang ditubuhkan masing-masing, Umno bahagian juga mengumpul maklumat pengundi sedia ada bagi memastikan tidak timbul isu pengundi hantu apabila pilihan raya diadakan.

"Ada juga kes yang saya difahamkan berlaku, rumah itu sepatutnya diduduki oleh penghuni Melayu tetapi yang terjadi bukan (penghuni Melayu) jadi perlu ada penyemakan untuk setiap maklumat," kata Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, di sini, Khamis.

Beliau yang sebelum itu hadir perhimpunan bulanan kementeriannya diminta mengulas perkembangan terkini berhubung arahan penubuhan pasukan khas Umno bahagian untuk mendaftar pengundi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden parti baru-baru ini.

Arahan itu yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden Umno berikutan jumlah pendaftaran pemilih baru oleh parti itu agak perlahan berbanding parti pembangkang.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata pasukan khas itu juga berperanan mengendalikan pameran bagi meningkatkan kesedaran rakyat yang layak akan kepentingan mendaftar sebagai pemilih. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan