Perlu Campur Tangan Kerajaan Halang Kenaikan Harga Sewa Premis

Diterbitkan: Khamis, 5 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Juhaidi Yean Abdullah
Juhaidi Yean Abdullah

PETALING JAYA: Dilema dan tekanan yang dihadapi peniaga-peniaga tempatan akibat tidak mampu menanggung kos kenaikan sewa premis yang terlalu tinggi di pusat beli-belah hanya mampu ditangani sekiranya ada campur tangan kerajaan.

Setiausaha Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, suara peniaga amat kecil dan mereka tidak mempunyai kuasa yang besar untuk berunding dengan pihak pengurusan premis tempat mereka menyewa.

"Inilah masanya untuk pihak kerajaan dan kementerian bertanggungjawab membantu peniaga bumiputera dan peniaga tempatan supaya mereka boleh meneruskan perniagaan masing-masing dengan sewa kedai yang munasabah," katanya ketika dihubungi mStar Online. Muhammad Sha'ani berkata demikian apabila diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai nasib peniaga di Alamanda diberi notis keluar oleh pihak pengurusan selain berdepan dengan tekanan sewa dengan kenaikan melebihi satu kali ganda.

Katanya, kenaikan harga premis secara mendadak dan keterlaluan turut memberi kesan kepada harga barang, seterusnya kepada pengguna.

"Kerajaan tidak membenarkan peniaga-peniaga menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya, perkara yang sama harus ditekankan kepada pihak pengurusan premis juga.

"Sekiranya pengusaha dan peniaga perlu membayar sewa yang mahal, sudah tentulah mereka (peniaga) terpaksa juga menaikkan harga barang untuk terus hidup.

"Akhirnya, pengguna juga akan terbeban," katanya.

Peniaga dan pengusaha, khususnya di pusat membeli-belah boleh diberi amaran untuk tidak menaikkan harga barang, tetapi dalam masa yang sama perlu ada pihak yang membantu meringankan beban mereka dengan mengurangkan kos operasi.

Muhammad Sha'ani berkata, isu ini boleh dielakkan kerana kerajaan mempunyai kapasiti untuk mengawal situasi ini atau mengambil tindakan sewajarnya.

Dia turut mencadangkan agar kerajaan membuat pemantauan dan mengawal selia kadar sewa serta kadar kenaikan yang dikenakan terhadap peniaga sebagai salah satu kaedah menangani permasalahan ini.

Jika isu ini dibiarkan berlarutan, Muhammad Sha'ani tidak menolak kemungkinan akan berlaku keadaan di mana negara akan kekal maju, tetapi peniaga Bumiputera dan sederhana akan hidup pada tahap yang sama.

Ini kerana, peluang perniagaan diberikan kepada peniaga asing yang ternyata mampu membayar sewa premis yang tinggi berbanding peniaga tempatan.

Sementara itu, seorang pengusaha tempatan, Juhaidi Abdullah, berkata dia tidak berasa hairan apabila mendapat tahu pengusaha di Alamanda menerima nasib yang sama seperti mana yang pernah dilalui peniaga tempatan di Suria KLCC tidak lama dulu.

"Dua pusat membeli-belah ini diuruskan oleh syarikat yang sama. Tidak hairanlah jika mereka melakukan cara dan strategi yang sama untuk 'menidakkan' kehadiran peniaga tempatan di pusat membeli-belah itu," katanya.

Juhaidi, yang pernah sepuluh tahun membuka perniagaan di Suria KLCC terpaksa mencari tapak perniagaan yang baru apabila kadar sewa premis makanan yang disewanya dinaikkan kepada harga yang tidak munasabah.

"Masa mula berniaga, sewa yang dikenakan hanyalah RM14,000, sebulan. Selepas tiga tahun naik kepada RM30,000, sebulan. Kemudian mereka minta saya bayar RM57,000 sebulan pula. Adakah kenaikan itu munasabah?" kata pemilik restoran Kelantan Delights ini.

Katanya, kerajaan harus mementingkan jenama dan penguasaha tempatan dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat dan negara ini.

"Mungkin kerajaan boleh wujudkan dasar bagi memberi kepentingan kepada peniaga tempatan, kalau tidak kepada produk dan jenama tempatan sekali pun, seperti yang dilaksanakan di negara-negara luar.

"Jenama tempatan pun banyak yang terkenal dan bagus-bagus.

"Peluang berniaga di tempat bertaraf antarabangsa akan membuatkan mereka lebih berdaya saing, berani dan secara tak langsung akan mengukuhkan jenama tempatan kerana sudah tentu ramai pelancong asing berkunjung ke sana," katanya.

Juhaidi turut mendedahkan selain 'diasak' dengan kadar sewa yang tinggi, pernah juga berlaku situasi di mana peniaga tempatan diberikan notis keluar dengan sewenang-wenangnya.

"Ada peniaga yang mampu bayar sewa yang ditetapkan dan mereka membayar mengikut tempoh, tetapi turut diarahkan keluar.

"Hal-hal begini membuatkan kita rasa sangsi. Apakah matlamat sebenar pihak pengurusan pusat membeli-belah itu," katanya lagi.

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan