Perkhidmatan 'Jejak Waris' Untuk Cairkan RM40 Bilion Aset Beku Kini Dilancarkan...

Diterbitkan: Khamis, 5 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Khairul Anuar Rahmat.
Khairul Anuar Rahmat.

PETALING JAYA: Aset beku bernilai RM40 bilion milik lebih 500,000 waris dari kalangan umat Islam kini mampu dicairkan melalui perkhidmatan "Jejak Waris" yang dilancarkan oleh sebuah firma, Rabu.

Pengerusi Firma Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, unit khas berbentuk pusat sehenti itu dilancarkan bagi membolehkan masyarakat Islam membuat rujukan mengenai masalah pewarisan harta dan wasiat.

"Perkhidmatan ini merupakan pusat sehenti untuk orang-ramai merujuk isu pewarisan harta, waris tidak dapat dikesan, tuntutan bertindih, aset beku, wasiat dan sebagainya," katanya kepada mStar Online selepas muncul dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 pagi Rabu.

Khairul Anwar yang juga seorang peguam syariah berkata, kajian mendapati sehingga kini terdapat lebih RM40 bilion aset beku dengan lebih 500,000 waris menghadapi masalah kerana tidak dapat menyelesaikan isu pewarisan.

Katanya, waris-waris tersebut sepatutnya memperolehi harta yang diwariskan berpuluh-puluh tahun dahulu.

"Mereka ini mungkin mampu meningkatkan ekonomi serta tidak mustahil akan melahirkan lebih ramai jutawan dengan harta yang diwariskan kepada mereka.

"Ini kerana, nilai hartanah meningkat dari hari ke hari dan jika diusahakan dengan cara yang betul dulu, mungkin sekarang waris sudah mempunyai syarikat konglomerat dan taraf hidup mereka lebih meningkat.

"Tetapi kerana masalah dan dilema sebegini, mereka tidak mendapat hak dan harta yang sepatutnya mereka dapat," katanya.

Selain menghadapi cabaran mengesan waris, kesukaran juga timbul apabila waris tidak faham undang-undang, tiada wasiat yang jelas, waris enggan bekerjasama dan masalah salasilah yang berlapis-lapis.

Dengan adanya sistem Jejak Waris yang pertama kali dipelopori di negara ini, semua masalah itu dijangka mampu ditangani dengan cara mengesan waris seterusnya merungkaikan lebih banyak aset beku.

Katanya lagi, aset-aset ini yang berbentuk rumah, tanah, ladang, kebun, saham, simpanan KWSP dan sebagainya jika diagihkan kepada waris bakal memberi banyak manfaat seterusnya dapat meningkatkan ekonomi keluarga dan negara.

Mengulas idea mewujudkan pusat sehenti ini, Khairul Anwar yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang guaman dan syariah mendapat ilham daripada aduan-aduan dan pertanyaan orang ramai yang musykil tentang perkara ini.

"Kita mahu bantu masyarakat, terutama waris-waris yang daif dan hidup dalam kemiskinan. Kita juga mahu tingkatkan ekonomi waris yang majoritinya beragama Islam," katanya.

Turut menubuhkan pusat sehenti ini berteraskan jihad ekonomi, Khairul Anwar juga menjelaskan kepentingan waris-waris mendapatkan hak dan harta mereka.

"Melalui apa yang diwariskan si mati, waris dapat melunaskan hutang-hutang kepada sesiapa yang berkenaan.

"Harta peninggalan juga penting untuk waris menunaikan hak ketuhanan seperti membayar fidyah bagi pihak si mati dan sebagainya," katanya.

Melalui perkhidmatan Jejak Waris, firma itu akan membantu orang ramai mengesan waris melalui aduan dan pertanyaan dengan mendaftarkan harta dan nama masing-masing dengan menghubungi emel jejakwaris@yahoo.com.

"Setelah mendapat maklumat, kita akan membangunkan pangkalan data untuk menjejaki waris dan harta beku di seluruh negara," katanya.

Tempoh enam bulan hingga dua tahun disasarkan bagi membolehkan sesuatu kes itu diselesaikan.

Akhbar The Star pada 17 Julai lalu pernah menyiarkan melalui laporan muka depannya tentang isu berkaitan harta yang gagal dicairkan oleh waris-waris di kalangan umat Islam berjumlah RM40 bilion kerana pelbagai masalah terutamanya berkaitan dengan kekangan undang-undang dan juga pertikaian di mahkamah selama bertahun-tahun.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan