Pembangkang Gagal Jatuhkan Kredibiliti Kerajaan Perak

Diterbitkan: Khamis, 5 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Pakatan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak gagal dalam rancangan mereka untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa pembentangan usul perbekalan tambahan akan menambah jumlah defisit dalam Bajet 2010 sebanyak RM104 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata niat buruk pembangkang yang diketuai Adun Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk menghentam kerajaan BN atas alasan Perak akan berada dalam keadaan defisit yang sangat kritikal, tidak kesampaian apabila beliau membuktikan Perak akan mencapai bajet seimbang bagi tahun 2010.

"Mereka terkejut kerana perbelanjaan tambahan itu langsung tidak 'mengusik' rizab sebanyak RM800 juta yang dimiliki kerajaan negeri. Oleh itu rancangan mereka untuk menjatuhkan (kredibiliti kerajaan) tidak menjadi kenyataan.

"Maka mereka (pembangkang) terpaksa mengalih perhatian dengan menjadikan sidang DUN semalam sebagai pentas ceramah politik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Speaker Datuk R.Ganesan yang mengarah keluar dan menggantung Mohammad Nizar daripada menghadiri sidang DUN semalam kerana mencetuskan kekecohan dan berkelakuan haru-biru.

Zambry berkata sangkaan pembangkang bahawa kerajaan negeri akan menyebabkan Perak mencatatkan rekod defisit tertinggi dalam sejarah ternyata meleset setelah pembentangan sumber perbelanjaan tambahan RM80 juta bagi bajet 2010 dibuat semasa sesi soal jawab.

Katanya kesemua Adun pembangkang dilihat mempamerkan rasa terkejut apabila diberitahu sumber perbelanjaan itu adalah daripada lebihan perolehan hasil sebanyak RM117 juta yang berjaya dikutip kerajaan negeri sehingga 31 Julai lepas.

Beliau meminta wakil rakyat pembangkang supaya tidak sewenang-wenangnya melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri tanpa disokong fakta yang benar.

"Kita tidak berbohong apabila kita bentangkan bahawa kerajaan negeri memperoleh lebihan pendapatan sebanyak RM117 juta. Angka ini direkodkan dan ia melibatkan wang rakyat," katanya.

Zambry berkata selain mengamalkan pengurusan kewangan yang cekap, lebihan pendapatan itu adalah pendapatan luar jangka yang diterima kerajaan negeri hasil bayaran premium tanah oleh Kerajaan Persekutuan dan syarikat-syarikat.

Ketika membentangkan usul perbekalan tambahan 2010 di sidang DUN semalam, Menteri Besar berkata RM30 juta daripada RM80 juta perbelanjaan tambahan yang dipohon akan dibelanjakan bagi tujuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat manakala RM50 juta lagi bagi pelaburan menambah hasil negeri.

Perolehan tambahan yang berjaya dikutip itu juga akan digunakan kerajaan negeri untuk menghapuskan RM23.8 juta defisit yang diunjurkan dalam Bajet 2010. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan