Bomba Mohon Kerajaan Pertimbang Elaun Risiko

Diterbitkan: Khamis, 5 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Kesatuan Pekerja Jabatan Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia akan memohon kepada kerajaan agar mempertimbangkan pemberian elaun risiko kepada anggota pasukan itu yang menyertai tugas-tugas operasi.

Presidennya Salimin Ayed berkata jika diluluskan, kira-kira 8,000 anggota bomba seluruh negara layak menerima elaun itu.

"Pihak kesatuan memikirkan elaun itu perlu diberi pertimbangan kerana anggota bomba menjalankan tugas operasi dalam keadaan risko berbahaya," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat perwakilan kesatuan itu di sini.

Katanya skim gaji anggota bomba sama seperti penjawat awam yang lain walaupun mereka terdedah dengan risiko berbahaya.

"Sebagai contoh anggota bomba terbabit dalam operasi di Marang, Terengganu baru-baru ini yang menyebabkan seorang meninggal dunia dan seorang cedera yang masih dirawat di hospital, katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang menyediakan butiran permohonan itu untuk diserahkan kepada pengurusan jabatan secepat mungkin untuk dipanjangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya kesatuan akan meminta sokongan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Salimin berkata pihaknya juga menyokong permintaan Cuepacs agar JPA mempercepatkan pembayaran insentif khas kepada anggota bomba yang memandu jentera bomba kerana jentera itu tidak sama seperti kenderaan awam lain dan memerlukan kemahiran pengendalian.

Cadangan insentif itu adalah sebanyak RM250 kepada lebih 1,000 anggota yang akan ditentukan oleh jabatan terbabit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan