Abdul Aziz Anak Didik Yang Dedikasi - Abu Hassan

Diterbitkan: Selasa, 3 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang, Selangor, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh yang ditemui mati dalam kereta di Sungai Buloh hari ini, disifatkan oleh bekas ketuanya sebagai seorang yang sangat dedikasi terhadap tugasnya.

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar berkata sepanjang mengenali arwah, Abdul Aziz juga merupakan seorang yang taat dan setia kepada ketuanya.

"Malah beliau masih lagi bertugas sehingga saat akhirnya," kata Abu Hassan yang dihubungi Bernama bagi mengulas kematian mengejut Abdul Aziz.

Abdul Aziz, 64, ditemui mati bersama-sama Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang Siti Rohana Ismat, 43, kedua-duanya dengan kesan tembakan, dalam kereta yang terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Allahyarham yang menjadi wakil rakyat dari tahun 2004 hingga 2008, pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Abu Hassan pada 1997.

"Hubungan saya dengan dia (arwah) sangat rapat. Saya kenal arwah sejak beliau masih bersekolah di Kuala Selangor dan saya juga pernah mengajar arwah semasa menjadi guru.

"Kemudian apabila saya menyertai politik dan menjadi Timbalan Menteri, saya ambil dia sebagai Setiausaha Sulit sebelum menjadi Setiausaha Politik apabila saya menjadi Menteri Besar," katanya.

Malah Abu Hassan berkata sehingga kini mereka masih lagi bergandingan dalam Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor, di mana beliau memegang jawatan Presiden dan Abdul Aziz selaku Bendahari.

Abu Hassan, yang sebak ketika diminta bercerita mengenai Abdul Aziz, mengakui amat sedih dengan kematian arwah yang disifatkannya sebagai anak didik, rakan dan anggota keluarga yang amat dekat di hatinya.

Jenazah Abdul Aziz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada pukul 8.45 malam tadi manakala jenazah Siti Rohana pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 7 1/2 Sungai Gulang-Gulang Tanjung Karang.

Turut memberi penghormatan terakhir kepada Abdul Aziz selain daripada Abu Hassan ialah bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ir Mohd Zain Mohamed, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Reezal Merican Naina Merican, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin.

Reezal berkata Allahyarham (Abdul Aziz) adalah mentor kepada beliau kerana Allahyarham adalah orang pertama yang beliau temui bagi menimba pengalaman semasa beliau pertama kali menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pada tahun 2001, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata Allahyarham merupakan seorang yang mempunyai minda yang tenang dan antara perkara pertama yang diingatkan oleh Abdul Aziz kepada Reezal dalam berpolitik ialah supaya meletakkan kepentingan rakyat di atas segalanya.

"Zal, kalau orang datang ke pejabat biar mereka keluar pejabat kita dengan perasaan puas hati," katanya kepada wartawan mengenai amanat Allahyarham itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan