Kelab Putera Yakin Misi Dapat Masuk Gaza Ikut Jadual

Diterbitkan: Isnin, 2 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kelab Putera 1Malaysia yakin misi anjurannya akan dapat memasuki Gaza mengikut jadual memandangkan mereka mendapat kerjasama penuh daripada Wisma Putra, Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Palestin.

Pengerusi kelab Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata misi itu juga mendapat sokongan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sememangnya dihormati pihak antarabangsa.

"Reputasi Dr Mahathir sebagai negarawan ulung membantu misi mendapat kerjasama memuaskan daripada pihak antarabangsa," katanya pada sidang media selepas mengetuai peserta misi mengunjungi mantan Perdana Menteri itu, di sini, Isnin.

Sementara itu, Dr Mahathir ketika berucap mengingatkan sukarelawan agar misi dilaksana bersandarkan rasa berani dan keikhlasan untuk berjihad tanpa dikelirukan dengan agenda politik.

"Kezaliman yang dilakukan oleh Israel amat luar biasa kerana ia bukan sekadar penjajahan atau penaklukan ke atas negara lain, sebaliknya adalah kekejaman 'genocide' yang bertujuan melenyapkan terus bangsa Palestin dari muka bumi ini.

"Ini diburukkan lagi dengan sikap beberapa negara yang memilih untuk menjadi sekutu rapat rejim itu seperti Amerika Syarikat malah Mesir turut mengambil bahagian dengan menyokong sekatan yang dibuat oleh Israel ke atas Palestin," katanya.

Misi sulung anjuran kelab itu disertai 35 doktor pakar, 10 wakil media dan 22 sukarelawan termasuk beberapa anggota PBSM Malaysia.

Mereka membawa bersama bantuan untuk 2,000 keluarga di tujuh buah kampung dan bantuan perubatan untuk lima buah hospital.

Kumpulan pertama misi yang terdiri daripada lima anggota akan berlepas ke Kaherah dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL malam esok diikuti oleh kumpulan kedua seramai 28 orang pada 5 Ogos dan kumpulan terakhir seramai 34 orang pada 8 Ogos. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan