Rakyat Malaysia Miliki Kereta Pendaftaran Asing Tunjuk MyKad Beli Ron95

Diterbitkan: Ahad, 1 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Di BUKIT KAYU HITAM, Kedah, rata-rata pemilik kenderaan asing yang masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand di sini, akur dengan larangan membeli petrol RON95 kepada mereka berkuatkuasa hari ini.

Pengurus JKT Petroleum Sdn Bhd, Low Ewa Chye berkata, kebanyakkan pelanggan warga asing yang mengisi minyak di stesennya tidak membantah setelah diberitahu mereka hanya boleh membeli petrol RON97.

"Selain kereta dari Thailand, banyak juga kumpulan motosikal besar (berkuasa tinggi) dari Singapura datang isi minyak sini, sehari 30 hingga 40 kereta asing datang," katanya ketika ditemui di stesennya di sini pada Ahad.

Pegawai Kastam dari Thailand, Suda Aa, 58, berkata, beliau menerima dengan baik arahan baru daripada kerajaan Malaysia itu dan tidak kisah membeli petrol RON97 untuk keretanya.

Katanya, harga petrol di Malaysia masih lebih murah berbanding di negaranya dan beliau masuk untuk membeli minyak seminggu atau dua minggu sekali.

Pekerja pam, Siti Haida Mat berkata, ada juga di kalangan warga asing yang membatalkan niat membeli minyak selepas diberitahu tentang larangan menjual petrol RON95.

"Mereka pergi ke kedai lain, dengan harapan dapat beli RON95. Ada juga yang tanya sampai bila larangan ni, tapi kebanyakannya tak kisah dan beli saja," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, lesen pengusaha yang degil dan engkar dengan arahan berkenaan akan ditarik balik.

"Pengusaha kena patriotik sebab subsidi hanya untuk rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui selepas melawat Koperasi Kaum Ibu di Lubuk Batu, dekat sini, Ahad.

Tinjauan di beberapa stesen minyak berhampiran sempadan di sini mendapati, kekerapan kenderaan asing yang datang membeli minyak adalah seperti biasa kerana walaupun mereka hanya boleh membeli petrol RON97, harganya masih rendah berbanding di negaranya.

Ada juga stesen minyak didapati masih belum menampal poster larangan menjual petrol RN95 yang telah diedarkan kementerian itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan