MCA Mahu SPRM Beri Contoh Negara Yang Minta Kabinet Isytihar Harta

Diterbitkan: Ahad, 1 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: MCA meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan contoh negara yang meminta anggota kabinetnya mengisytiharkan harta kepada umum.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata setahu beliau tiada negara di mana anggota kabinetnya mengisytiharkan harta mereka kepada orang ramai.

"Di Amerika Syarikat (AS) pun, mereka hanya umum pendapatan kepada Presiden. Mereka tidak umum harta di sini dan di sana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Perak di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohammed yang berhasrat untuk meminta semua anggota kabinet mengisytiharkan harta kepada umum.

Semalam, Abu Kassim dilaporkan bersetuju dengan cadangan Presiden Majlis Peguam S. Ambiga supaya aset ahli-ahli politik terutama di kalangan anggota kabinet dan kehakiman didedahkan kepada umum untuk menunjukkan ketelusan.

Semua anggota kabinet kini mengisytiharkan harta mereka setiap tahun kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi ia tidak didedahkan kepada umum.

Cadangan mengisytiharkan harta anggota kabinet pernah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.

Ditanya adakah beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu, Dr Chua berkata: "Saya bukannya tidak bersetuju, saya hendak dia (Abu Kassim) beri saya satu contoh, negara yang harta anggota pentadbirannya diisytihar dan dikongsi dengan rakyat jelata".

Dalam perkembangan lain, Dr Chua berkata, walaupun MCA bukan sebuah pertubuhan sempurna yang boleh menyelesaikan semua isu yang dibangkitkan tetapi ia jauh lebih baik berbanding DAP yang hanya mengutarakan isu tetapi tidak mampu menyelesaikannya.

"Kita (MCA) bukan hanya utarakan isu tetapi kita juga menanganinya," kata beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Perak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan