JPJ Akan Bincang Dengan Polis Masalah Baharui Cukai Jalan - KP JPJ

Diterbitkan: Ahad, 1 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membincangkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masalah pemilik kenderaan yang tidak dapat membaharui cukai jalan akibat disenaraihitam kerana melakukan kesalahan jalan raya, kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan hari ini.

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak polis secara rasmi untuk membincangkan isu itu,” katanya kepada Bernama selepas Program Ujian Menembak Persahabatan antara JPJ Kelantan dengan JPJ Terengganu di sini.

Hadir sama Pengarah JPJ Kelantan, Abdul Ghani Che Kassim; dan Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie.

Solah ditanya mengenai masalah berkenaan yang menjadi tajuk perbincangan di kalangan banyak pihak akhir-akhir ini.

Dalam pada itu, Solah berkata JPJ akan meningkatkan kawalan dan rondaan di jalan-jalan utama berisiko tinggi kemalangan atau jalan “sakaratulmaut” di seluruh negara bagi mencegah kemalangan sepanjang musim perayaan tidak lama lagi.

Katanya, gerakan tumpuan itu akan dilakukan antaranya di Jalan Persekutuan Kuala Krai-Gua Musang yang kerap berlaku kemalangan pada musim perayaan.

Beliau berkata, keadaan jalan yang kurang diselenggara dengan baik dan tidak dinaikkan taraf sebagai penyumbang kemalangan kerap berlaku di kawasan terbabit.

Menurutnya, satu lagi penyebab ialah kekurangan penyelenggaraan dan papan tanda.

Solah berkata, mengikut statistik JPJ Kelantan, kira-kira 20 kawasan “sakaratulmaut” dikenalpasti di sepanjang jalan Kuala Krai-Gua Musang.

Beliau menyarankan agar pihak berkenaan mengadakan jalan pintas bagi mengelakkan kesesakan di jalan masuk ke persimpangan Bandar Gua Musang dan Kuala Krai, menyebabkan perjalanan ke sesuatu destinasi memakan masa lebih lama.

Katanya dianggarkan 140 buah bas ekspres menggunakan laluan jalan Gua Musang–Kuala Krai setiap hari pada musim perayaan dan ini mengundang risiko kemalangan jalan raya yang agak tinggi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan