Surat Sokongan: Pemuda Umno Minta Penjelasan KSN

Diterbitkan: Sabtu, 31 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno Malaysia (Pemuda Umno) meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan memberi penjelasan berhubung arahan beliau kepada anggota perkhidmatan awam mengenai surat sokongan yang dikeluarkan oleh ahli politik.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin, menyifatkan arahan itu memberi gambaran seolah-olah surat sokongan yang dikeluarkan oleh ahli politik adalah satu tindakan penyalahgunaan kuasa.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno Jumaat, Khairy, membantah persepsi sesetengah pihak yang menganggap surat sokongan sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh ahli politik.

"Wakil rakyat menyokong permohonan rakyat bukan atas pertalian politik tetapi semata-mata mahu membantu rakyat.

"Kes-kes ini bukan hanya melibatkan kontrak atau perolehan kerajaan tetapi kebanyakannya adalah permohonan untuk biasiswa, pemindahan tempat kerja, kebajikan dan perumahan," katanya.

Menurut beliau lagi, surat sokongan juga diperlukan apabila pemohon gagal mendapat layanan yang baik dan adil dari mana-mana jabatan kerajaan.

"Walaupun Pemuda Umno berpendapat majoriti kakitangan awam bersikap profesional, ada segelintir Napoleon kecil yang tidak layan pelanggan mereka, yakni rakyat biasa dengan baik dan adil.

"Adalah diharapkan KSN dapat memberi penjelasan dalam hal ini," tegasnya.

Dalam pada itu, Pemuda Umno turut memohon kerajaan mengkaji semula kaedah pelaksanaan sistem saman ekor.

Sistem tersebut dikatakan mengundang pelbagai masalah di mana ramai pemilik kenderaan yang tidak tahu menahu tentang saman yang dikeluarkan kepada mereka.

Ada juga pemilik yang mengganggap diri mereka tidak bersalah atas saman tersebut, tidak menerima notis saman tetapi terpaksa membayar saman bagi membolehkan cukai jalan diperbaharui dan untuk mengelak daripada didakwa.

"Pemuda Umno menganggap perkara ini tidak adil bagi para pemilik kenderaan dan berharap kerajaan mengkaji semula serta menangguhkan pelaksanaan sistem saman ekor," katanya.

Kerajaan juga digesa mengkaji semula keputusan untuk tidak membenarkan saman tersebut dikompaun.

"Keputusan ini amat membebankan rakyat yang tidak mampu menyelesaikan jumlah saman yang begitu besar apabila memperbaharui cukai jalan kenderaan," katanya.

Mengulas keputusan kerajaan membenarkan guru gred DG41 hingga DG48 aktif dalam politik, Pemuda Umno menyambut baik keputusan tersebut dan berharap keputusan itu diperluaskan merangkumi golongan mahasiswa dan pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sudah tiba masanya mahasiswa dibenarkan terlibat secara bebas dalam politik dan menggesa kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ke arah ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan