Sebahagian Besar Aduan Rakyat Tahun Lepas Selesai:BPA

Diterbitkan: Sabtu, 31 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Sebahagian besar daripada kira-kira 12,000 aduan rakyat melalui Biro Pengaduan Awam (BPA) sepanjang tahun lalu telah dapat diselesaikan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata 98 peratus daripada kes-kes itu dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat melalui pendekatan bersemuka antara pengadu dan agensi-agensi yang terbabit dalam kes aduan mereka.

Bercakap kepada pemberita semasa menghadiri program BPA bertemu masyarakat peringkat negeri Perlis di Dewan Residensi di sini Sabtu, beliau berkata, melalui pendekatan baru itu, aduan rakyat dapat diselesaikan dengan cepat berbanding kaedah arahan bertulis seperti sebelum ini.

Menurutnya, tahap keyakinan masyarakat terhadap BPA juga terus meningkat berdasarkan jumlah aduan yang diterima meningkat begitu ketara.

Sepanjang 2008, BPA hanya menerima 4,000 aduan di seluruh negara dan angka itu bertambah berkali ganda kepada 12,000 aduan sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, pada tahun ini Perlis menjadi negeri pertama mengadakan program BPA bertemu masyarakat dan ia akan diadakan setiap bulan sehingga program itu berakhir di Sabah akhir tahun ini.

"Saya sendiri akan turun ke negeri-negeri bagi melihat dan memantau aduan rakyat dan akan memastikan tindakan terhadap aduan dapat diambil dalam tempoh lima hari. Saya akan datang semula dalam tempoh lima hari untuk melihat sejauh mana kes itu diselesaikan," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini, BPA yang menerima aduan rakyat hanya mengutus surat kepada jabatan dan agensi yang berkaitan dengan aduan itu dan salinan surat dihantar kepada pengadu.

"Ini berbeda dengan pendekatan sekarang yang mana jabatan dan agensi berkaitan akan dijemput untuk bersemuka dengan pengadu bagi menyelesaikan kes," katanya.

Beliau berkata, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Rukun Tetangga (RT) akan diminta memanjangkan kemudahan yang disediakan oleh BPA manakala media massa juga telah banyak membantu memperkenalkan peranan BPA kepada orang ramai.

Mengenai program BPA bertemu masyarakat di Perlis, beliau berkata, antara aduan yang diterima termasuk kelewatan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyelesaikan masalah tertentu selama lebih setahun, masalah masyarakat yang berpunca daripada projek landasan berkembar, penguasaan rakyat asing terhadap premis perniagaan yang diperuntukkan kepada rakyat tempatan serta isu-isu kebajikan.

"Saya akan datang lagi ke Perlis pada 3 Ogos ini untuk melihat sejauh mana aduan hari ini telah dapat ditangani. Saya juga akan melawat lokasi yang dikaitkan dengan aduan-aduan itu," katanya.

Katanya, beliau mahu masalah yang dikemukakan rakyat dapat diselesaikan dengan pantas kerana rakyat sentiasa didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Lebih 10 kaunter jabatan dan agensi kerajaan dibuka kepada orang ramai sempena program yang bermula pukul 9 pagi dan berakhir pukul 3 petang hari ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan