MOSTI Bakal Perkenal Alat Nyah Karbon Bantu Jimatkan Kos Nelayan

Diterbitkan: Sabtu, 31 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DUNGUN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bakal memperkenalkan alat 'decarboniser' atau alat nyah karbon dalam diesel untuk membantu nelayan mengurangkan penggunaan diesel ketika ke laut.

Timbalan Menterinya Fadillah Yusof berkata alat ciptaan anak tempatan itu menjimatkan penggunaan diesel, sekali gus memberi manfaat kepada golongan nelayan yang kebanyakannya berpendapatan rendah.

"Seramai 50 nelayan dari Dungun terpilih menyertai projek perintis yang bermula April lalu dengan diselia dan dipantau pegawai dari Teknologi Park. Projek perintis ini akan diadakan selama 12 bulan.

"Sebaik sahaja pemantauan dan kajian-kajian lain berhubung impak alat itu diperoleh, sekiranya memberi hasil positif, penggunaannya akan diperluaskan untuk nelayan seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan dan penyampaian alat decarboniser kepada nelayan daerah itu di sini Sabtu.

Pada majlis itu, 705 nelayan di kawasan Parlimen Dungun menerima secara tunai bantuan sara hidup masing-masing berjumlah RM200 sebulan. Turut hadir, Anggota Parlimen Dungun Matulidi Jusoh.

Fadillah berkata setakat ini, nelayan-nelayan yang menggunakan alat ini mengesahkan penggunaan diesel boleh dijimatkan 20 hingga 30 peratus.

"Menurut peserta projek perintis ini, untuk satu perjalanan ke laut yang sebelum ini memerlukan perbelanjaan diesel RM500, berjaya dijimatkan dan hanya menelan kos RM350," katanya.

Alat berkenaan juga boleh dikembangkan kepada enjin kenderaan darat yang menggunakan diesel seperti lori dan bas.

Sementara itu, Fadillah berkata laman web www.myideas.my yang memberi peluang orang ramai menyumbang idea untuk dikembangkan dan dibangunkan oleh kementerian itu, mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya setakat ini, terdapat seramai 7,199 telah mendaftar sebagai anggota dan menghantar idea masing-masing sejak Januari 2009.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 3,746 idea diluluskan manakala 611 dinilai sebagai idea yang boleh diterima untuk dibangunkan.

"Untuk menarik minat peserta, setiap idea yang diterima dibayar RM500, idea yang dikembang dan dipatenkan menerima RM5,000 dan setelah diluluskan paten sebanyak RM10,000 diberi sebagai insentif," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata mereka yang mempunyai apa saja idea yang boleh dibangunkan dan bermanfaat kepada semua, boleh menghantar idea kepada kementerian menerusi laman web berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan