Guru Yang Ingin Sertai Politik Perlu Utamakan Tugas - Naib Canselor UPSI

Diterbitkan: Jumaat, 30 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANJUNG MALIM: Guru yang ingin melibatkan diri dalam politik perlu memberi keutamaan dan perhatian yang lebih kepada tugas serta tahu membahagi masa antara mengajar dan berpolitik, kata Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Dr Aminah Ayob.

"Ianya sesuatu yang tidak boleh dikompromi, tambah-tambah sekarang beban tugas guru sememangnya berat. Jadi mereka mesti tahu sama ada mampu atau tidak untuk terlibat dalam politik," katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian program Selangkah Ke Universiti anjuran Badan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi di UPSI di sini, Khamis.

Program tersebut dirasmikan oleh isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Masnah Rais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja dan Kebudayaan Bakti.

Aminah diminta mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Selasa lepas bahawa mulai 1 Ogos ini, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik.

Aminah berkata guru yang ingin terlibat dalam politik perlulah mantap dalam bidang perguruan, dimana mempunyai pengalaman mengajar yang sudah cukup lama, dan dengan itu persediaan mereka sudah cukup lengkap.

"Atau pun kalau mereka ingin menyertai politik pun mungkin pada waktu yang tidak mengganggu tugas mereka, misalnya pada waktu cuti sekolah masa itu mereka boleh aktiflah tapi semasa penggal persekolahan saya rasa guru sepatutnya tidak mengabaikan kelas," katanya.

Aminah berkata guru yang ingin bertanding pada pilihan raya, perlulah mengambil cuti kerana kempen memerlukan masa dan tenaga yang begitu banyak yang boleh menjejaskan tugas pengajaran, dan mampu terbawa-bawa ke dalam kelas.

"Kita tidak mahu apabila mereka sibuk berkempen, sampai berkempen di dalam kelas, sampai mengambil masa sedangkan yang lebih penting ialah mengajar," katanya.

Sementara itu, seramai 280 pelajar dari 100 sekolah menengah di Perak telah mengambil bahagian dalam program sehari itu yang mendedahkan mereka kepada kehidupan di kampus.

Ia diharapkan dapat meningkatkan kesedaran pelajar tentang suasana pembelajaran di universiti dan memberikan semangat kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan sehingga ke menara gading. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan