Akta Halal Digubal Perkemas Pindaan Akta Perihal Dagangan - Jamil Khir

Diterbitkan: Jumaat, 30 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menggubal Akta Halal bagi membolehkan jabatan itu melaksanakan sendiri peraturan berhubung penguatkuasaan sijil dan pengeluaran logo halal yang dijangka pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, walaupun pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini dikira sudah menyeluruh tetapi Jakim perlu diberikan kuasa bagi membolehkan mereka melaksanakan peraturan tersebut.

"Pindaan APD 1972 itu pada kita ia sudah dikira menyeluruh cuma kita perlu sedikit pindaan agar Jakim dapat berdiri sendiri dari segi penguatkuasaan sijil dan logo halal tanpa memerlukan agensi lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Mahrajan Huffaz Belia MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) dan pelancaran Tafsir Ar-Rahman versi Mandarin dan buku-buku terbitan Jakim di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)di sini, Jumaat.

Hadir sama Ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Jamil Khir berkata, Akta Halal diperlukan kerana ketika ini tidak ada satu pun akta yang jelas yang mengatakan pihak lain tidak boleh mengeluarkan sijil dan logo halal yang akhirnya menyukarkan pihaknya bertindak menguatkuasakan peraturan tersebut.

Katanya, melalui APD yang ada, kandungan dalam akta tersebut seakan-akan membenarkan orang yang bukan daripada Jakim juga boleh mengeluarkan sijil halal.

Ditanya sam ada penggubalan akta tersebut akan menimbulkan pertembungan dengan pindaan APD, beliau berkata perkara itu tidak akan berlaku kerana draf tersebut akan diteliti oleh Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu.

Malahan APD dan Akta Halal, menurutnya tidak akan dibentang secara serentak di Parlimen kerana pindaan dibuat adalah untuk mengemaskan lagi APD.

Mengenai persediaan Jakim daripada sudut sumber guna tenaga sekiranya Akta Halal diluluskan, Jamil Khir berkata, daripada segi pengalaman dan kebolehan dalam melaksanakan tugas sememangnya telah ada, cuma pihaknya akan memperkukuhkannya dengan penambahan perjawatan dan kakitangan bagi tujuan penguatkuasaan.

Beliau juga berkata pengwujudan sesuatu akta memerlukan tempoh masa yang agak panjang yang melibatkan kelulusan pejabat Peguam Negara serta bacaan beberapa kali di Parlimen untuk diluluskan.

"Saya tak suka berjanji, sebab tu kita serah kepada kelulusan Parlimen. Kalau ada pihak tak nak menyokong, kita tak boleh buat apa-apa," katanya.

Berhubung persediaan Jakim dalam memastikan hotel-hotel yang tidak mempunyai sijil halal tidak terbabit dalam promosi berbuka puasa pada Ramadan ini, Jamil Khir berkata, dalam isu ini kesedaran orang ramai adalah lebih utama.

Bagi mengelak kekeliruan, beliau berkata orang ramai boleh menyemak dan memuat turun maklumat dan senarai hotel yang diberikan status halal menerusi Portal Halal di laman web Jakim. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan