Skandal PKFZ: Ling Liong Sik Didakwa Menipu

Diterbitkan: Khamis, 29 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pengangkutan dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek 'Mega Distribution Hub' di Pelabuhan Klang.

Dr Ling, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari, 1986 hingga Mei, 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 3 September untuk sebutan kes.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai pendakwaan dan dibantu oleh Ketua Bahagian Pendakwaan Datuk Tun Majid Tun Hamzah, Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup manakala Dr Ling diwakili peguam Datuk R.R. Sethu.

Para wartawan dan jurugambar yang menanti sejak pagi selepas tersebarnya berita seorang kenamaan akan didakwa, hanya mengetahui identitinya apabila Dr Ling tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 4.36 bersama isterinya Toh Puan Ena Ling.

Beliau yang berbaju biru belang, masuk ke dalam mahkamah pada pukul 4.43 petang dan terus duduk di kandang tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ling didakwa telah menipu Kerajaan Malaysia antara 25 September, 2002 dan 6 November, 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek mega 'distribution hub' di Pelabuhan Klang mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan Lembaga Pelabuhan Klang yang antara lainnya ialah:

a) luas tanah ialah 999.5 ekar atau 43,538,200 kaki persegi;

b) kadar pembelian tanah adalah sebanyak RM25 satu kaki persegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456.

c) tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah "bayaran tertangguh" selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (jumlah RM720,014,600), dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 10 tahun atau RM25.82 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kupon/ faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Dengan demikian telah dengan sengaja mendorong Jemaaah Menteri untuk memberikan persetujuan kepada pembelian tanah tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta tersebut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa tertuduh boleh menyebabkan kehilangan salah kepada Kerajaan Malaysia, yang kepentingannya dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu bahawa tertuduh terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi dan dengan demikian telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Dr Ling merupakan individu kelima dan berkedudukan tinggi yang didakwa berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Akhir tahun lepas, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka O.C.Phang dan tiga lagi didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu.

Projek PKFZ, yang dibina di kawasan seluas 405hektar di Pulau Indah dekat Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, sebagai hab penghantaran kargo bersepadu telah menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.

Ia mengandungi 256 hektar kawasan terbuka untuk kilang/gudang, 512 lot perindustrian ringan dan 500,000 kaki persegi ruang pejabat untuk sewaan, 135-bilik hotel dan sebuah pusat pameran.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat projek itu telah mencadangkan supata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat bekas menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy dan Phang kerana pecah amanah. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan