RM30.5 Juta Untuk Naik Taraf Empat Laluan Strategik - Shaziman

Diterbitkan: Khamis, 29 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PELABUHAN KLANG: Kementerian Kerja Raya meluluskan peruntukan sebanyak RM30.5 juta bagi menaik taraf empat laluan strategik di negara ini yang memberi impak mendalam kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menterinya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata empat laluan itu ialah jalan ke Pelabuhan Klang, Lebuhraya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Jalan Kulim Hi-Tech dan Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2).

Katanya kerja naik taraf itu membabitkan penurapan semula jalan, mengecat semula garisan jalan, mengukuhkan bahu jalan, mengganti dan mencuci papan tanda ataupun perabot jalan.

"Dengan peruntukan kewangan yang terhad ini, kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan secara berhemah termasuk menggunakan teknologi baru agar jangka hayat sesuatu jalan dapat dipertingkatkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pelabuhan Barat di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian akan memastikan jalan-jalan strategik sentiasa berada dalam keadaan baik kerana ia bukan sahaja menjadi pintu masuk utama ke negara ini, tetapi penghubung terpenting kepada industri perdagangan.

Shaziman juga berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya membaik pulih lampu jalan yang tidak berfungsi di sekitar kawasan Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara akibat gejala vandalisme.

"Saya dimaklumkan oleh pihak polis dan pihak pengurusan pelabuhan bahawa banyak lampu jalan tidak beroperasi di kedua-dua tempat ini akibat kabel bawah tanah dicabut ataupun hilang.

"Dengan adanya lampu jalan yang secukupnya, saya yakin kadar kemalangan di sekitar kawasan kedua-dua pelabuhan dapat dikurangkan, terutamanya yang melibatkan penunggang motosikal," katanya yang menambah sebanyak 45 kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal dicatatkan pada 2008 di laluan kedua-dua pelabuhan itu.

Shaziman juga berkata beliau akan mengkaji keperluan untuk mewujudkan lorong motosikal di kedua-dua pelabuhan itu dalam masa terdekat, disebabkan lebih 20 peratus pengguna jalan raya di kawasan itu menaiki motosikal.

Mengenai rungutan sesetengah pengusaha lori mengenai larangan kenderaan berat menggunakan tiga laluan di sekitar Lembah Klang ketika waktu puncak pada sebelah pagi bermula 2 Ogos ini, beliau berkata larangan itu telahpun dimaklumkan kepada semua pengusaha berkenaan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebelum keputusan dibuat.

Shaziman bagaimanapun berkata sekiranya pengusaha lori tetap mahu menggunakan laluan terbabit dalam waktu larangan tersebut, mereka boleh membuat permohonan kepada LLM dan pihak polis untuk pertimbangan.

Larangan itu melibatkan laluan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) antara Shah Alam dan Jalan Duta, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) antara Sungai Buloh dan Bukit Lanjan, serta Lebuhraya Persekutuan 2 antara Subang dan Sungai Rasau pada waktu 6.30 pagi hingga 9.30 pagi. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan