MB S'gor: Kerajaan Belum Beri Kata Setuju Pada Cadangan DAP

Diterbitkan: Khamis, 29 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah memberikan kata setuju dengan cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang meminta supaya dimansuhkan diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah.

Menurut seorang jurucakap Pejabat Menteri Besar itu, kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini sengaja dipolitikkan oleh pihak media.

"Ada banyak cadangan yang dikemukakan ketika dialog bajet termasuklah mengenai diskaun bumiputera, tapi kesemua cadangan itu akan dibincangkan terlebih dahulu.

"Tapi Menteri Besar tidak pernah kata bahawa Selangor setuju dengan cadangan itu," kata sumber pejabat Menteri Besar di sini pada Khamis.

Selasa lalu, Khalid dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri menyambut baik cadangan DAP yang meminta supaya dimansuhkan pemberian diskaun bumiputera kerana dilihat mempunyai rasionalnya iaitu ia hanya melibatkan hartanah yang mempunyai nilai yang tinggi.

Sebelum itu, Tony dilaporkan meminta kerajaan Selangor agar memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu.

Tony yang juga Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP mendakwa penghapusan pemberian diskaun itu mampu memberi kesan ekonomi lebih baik kepada Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut hanya melibatkan nilai hartanah melebihi RM500,000 ke atas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan