KDN Permudah Permohonan Permit Masuk Warga Asing - Berita Semasa | mStar

KDN Permudah Permohonan Permit Masuk Warga Asing

Diterbitkan: Khamis, 29 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TUMPAT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mempermudah prosedur permohonan Permit Masuk warga asing dengan memberi kuasa penuh kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen bagi membuat keputusan menerima atau menolak permohonan itu yang berkuatkuasa 15 Julai lalu.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dengan kaedah baru itu, keputusan menerima atau menolak permohonan Permit Masuk tidak lagi sampai ke peringkat menteri seperti sebelum ini.

"Dengan kaedah baru ini Ketua Pengarah Jabatan Imigresen diberikan kuasa untuk mempertimbangkan semua jenis permohonan Permit Masuk.

"Hanya sekiranya ditolak, rayuan perlu dibuat di Kementerian Dalam Negeri untuk pertimbangan Menteri Dalam Negeri," katanya selepas majlis Ucapan Tahniah dan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di Wat Pikhun Thong, Kampung Terbok di sini, Khamis.

Pada majlis itu, seramai 89 penduduk berketurunan Siam menerima penganugerahan taraf kewarganegaraan itu seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada masyarakat itu pada 15 Julai lalu.

Lebih 1,000 masyarakat keturunan itu hadir pada majlis itu yang juga turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar.

Hishammuddin juga berkata kementeriannya telah memperkenalkan mekanisme bagi pertimbangan kelulusan permohonan Permit Masuk itu iaitu melalui kaedah Sistem Pemarkahan sebagaimana yang diamalkan di Australia, Kanada dan United Kingdom.

Bagaimanapun, katanya, sistem pemarkahan itu membabitkan permohonan warga asing yang tidak termasuk dalam kategori suami/isteri warga asing kepada warganegara, anak warganegara dan golongan pakar/profesional berkemahiran tinggi dan pelabur yang membuat pelaburan lebih daripada US$2 juta.

"Permohonan ditimbang berdasarkan pemberian markah mengikut kriteria umur, kelayakan akademik/profesional dan bidang pekerjaan, kemahiran berbahasa Melayu, tempoh tinggal di negara ini, ikatan kekeluargaan dengan warganegara dan Taraf Penduduk Tetap (PR) Malaysia, nilai pelaburan dalam negara dan sumbangan kepada negara.

"Pemohon yang melepasi 65 markah dan ke atas adalah layak dipertimbangkan. Walau bagaimanapun semua permohonan adalah tetap tertakluk kepada tapisan keselamatan Polis Diraja Malaysia," katanya.

Beliau berkata apa yang diputuskan itu bagi membolehkan semua permohonan Permit Masuk dan seterusnya PR Malaysia diproses lebih cepat dan telus selain menghapuskan peraturan dan kerenah birokrasi yang selama ini dianggap sebagai menyukarkan orang ramai.

Sementara itu, mengulas pemberian taraf kewarganegaraaan itu, Hishammuddin menafikan ia bermotifkan politik sebaliknya ia adalah hak rakyat keturunan Siam yang telah lama berada di negara ini.

"Kenapa perkara ini mahu dipolitikkan sedangkan ini hak mereka dapat taraf kewarganegaraan yang kesetiaan mereka kepada negara ini tidak boleh dipertikaikan lagi, sedangkan pada masa yang sama anak-anak mereka adalah rakyat negara ini," katanya.

Mengulas laporan dari New Delhi mengenai dakwaan polis Punjab bahawa empat militan Sikh kini bersembunyi di negara ini, Hishammuddin berkata KDN tetap memandang serius dakwaan tersebut dan telah menggerakkan usaha pemantauan dan menyiasat laporan itu.

"Kita bekerjasama dengan semua pihak seperti Interpol dan negara India (bagi menyiasat kebenaran laporan itu). Hubungan kita sangat baik dengan semua pihak dan usaha pembanterasan militan merupakan usaha yang sangat serius," katanya.

Semalam, polis Punjab mendakwa bahawa Khalistan Liberation Force, satu kumpulan puak pemisah Sikh yang kejam telah menubuhkan pangkalan di luar Kuala Lumpur dengan sekurang-kurangnya empat daripada anggota militannya masih bersembunyi di negara ini. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan