Cetak Rompak Masih Berleluasa - RIM - Berita Semasa | mStar

Cetak Rompak Masih Berleluasa - RIM

Diterbitkan: Khamis, 29 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jumlah pendapatan industri muzik tempatan menurun 50 peratus kepada RM150 juta setahun sejak 15 tahun lepas akibat gejala cetak rompak, menurut Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Naib Presidennya, Norman Abdul Halim berkata cetak rompak terus berleluasa selagi orang ramai tidak sedar tanggungjawab mereka untuk membantu menangani isu tersebut. "Lima belas tahun dulu pendapatan industri ini kira-kira RM300 juta tetapi kegiatan cetak rompak telah membantutkan pertumbuhannya," katanya dalam temuramah rancangan 'Kerusi Panas' terbitan Bernama Radio24.

Menurut Norman walaupun ketika ini saiz industri rakaman muzik tidak besar, ia berpotensi menyumbang kepada usaha kerajaan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios berkata industri digital sudah mula mengambil alih jualan album secara fizikal, sekali gus membuka ruang untuk mengembangkan kemahiran dan bakat karyawan muzik.

"Jika dulu seseorang terpaksa membeli sebuah album atau kaset walaupun untuk mendengar hanya satu lagu, kini mereka boleh membeli mana-mana lagu yang mereka minati melalui telefon bimbit dengan kos sekitar RM2 atau RM3 untuk sebuah lagu," katanya.

Bagaimanapun, menurut Norman penggiat industri muzik tidak seharusnya melupuskan terus produk fizikal seperti kaset dan cakera padat. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan