MB Sahkan Siasatan Ke Atas Ahli Majlis DAP Telah Bermula Dua Minggu Lalu

Diterbitkan: Rabu, 28 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri telahpun melakukan siasatan terhadap seorang ahli majlis perbandaran dari DAP yang didakwa menyalahgunakan kepala surat anggota exco Ronnie Liu, dua minggu yang lalu.

Khalid yang mengesahkan laporan muka depan akhbar The Star pada Selasa mengenai penyelewengan anggota DAP itu berkata, siasatan bermula sejurus selepas Liu memberitahunya mengenai penyalahgunaan kepala surat itu sebagai sokongan ahli majlis berkenaan bagi mendapatkan kontrak untuk kroninya.

Beliau turut berkata, banyak surat daripada ahli majlis itu seolah-olah memberikan satu arahan.

“Situasi ini amat memalukan kami berikutan siasatan mengenai perkara berkenaan telah didedahkan oleh akhbar The Star,” katanya,

Khalid memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil terhadap ahli majis terbabit sekiranya terbukti menyalahgunakan kepala surat wakil rakyat Pandamaran itu.

Akhbar The Star dalam laporan muka depannya, Selasa, menyebut seorang ahli majlis perbandaran dan anggota DAP Selangor yang mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan parti negeri telah menulis surat sokongan sendiri menggunakan kepala surat milik pejabat anggota exco negeri bagi memperoleh kontrak untuk kroni serta anggota keluarganya.

Beberapa sumber mendakwa, dia telah menerima kontrak sama ada secara langsung atau tidak langsung berjumlah lebih dari RM1 juta sejak Ogos 2008 sehingga pertengahan tahun ini.

Sepanjang tempoh tersebut, dokumen-dokumen menunjukkan yang dia telah membekalkan 'surat sokongan' kepada hampir 30 syarikat untuk mendapatkan kontrak daripada majlis perbandaran, termasuk lebih daripada 20 kontrak yang telah berjaya. Syarikat-syarikat ini memperolehi kontrak sekitar RM70,000 setiap bulan.

Ini menunjukkan yang anggota dewan itu bukan sahaja menggunakan kepala surat milik Liu, tetapi turut beberapa kali menandatangani dokumen. Beberapa surat-surat disertai dengan nota ‘BP' iaitu singkatan untuk 'bagi pihak' orang lain dan ada juga surat yang tidak disertakan dengan nota sedemikian.

Dalam sepucuk surat, yang ditujukan kepada presiden majlis bertarikh 12 Ogos 2008 dengan tandatangan yang dibuat bagi pihak Liu, dia mencadangkan nama sembilan syarikat untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sekitar bandar.

Sementara itu Ronnie Liu mengesahkan kepala surat miliknya telah disalah guna dan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap ahli majlis perbandaran terbabit. Bagaimanapun, ahli-ahli parti berkata tindakan dalaman sedemikian ialah “tidak mencukupi”.

Laporan itu juga memetik seorang jurucakap dalaman parti itu sebagai berkata, DAP sekarang menghadapi tekanan untuk mengemukakan laporan sejak ia menjadi perhatian pihak media akhir-akhir ini.

Siasatan turut mendedahkan bahawa anggota terbabit, yang juga ahli veteran DAP, telah memperolehi beberapa kontrak dari majlis perbandaran sejak Julai 2008. Baru-baru ini dia telah dilantik semula memegang jawatan itu untuk penggal ketiga.

Menerusi majlis perbandaran itu, yang juga merupakan yang terbesar di negeri Selangor, dia dilantik menduduki beberapa jawatankuasa penting, termasuklah menjadi salah seorang daripada barisan jawatankuasa tender.

Ahli majlis berusia lingkungan 50-an itu sebelum ini juga pernah bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum. Beliau juga pernah menduduki barisan jawatankuasa DAP negeri.

Liu, yang merupakan wakil rakyat Pandamaran, mendakwa dia pada mulanya tidak sedar yang kepala suratnya telah disalahgunakan.

“Terdapat dakwaan yang kuat untuk menunjukkan dia menggunakan kepala surat untuk mempengaruhi pihak majlis perbandaran dengan tujuan memperolehi kontrak, tetapi saya menyerahkan kepada parti untuk menyiasat perkara ini,” kata Liu.

Liu cuma mendapat tahu tentang aktiviti anggota terbabit baru-baru ini dan reaksi awalnya ialah untuk memecat lelaki itu dari jawatan dalam parti.

Menurut sumber, Liu, yang merupakan Timbalan Pengerusi DAP Selangor, cuba untuk menyekat anggota itu daripada dilantik semula sebagai ahli majlis untuk penggal ketiga tetapi gagal kerana dia mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli pimpinan parti peringkat negeri.”

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menyeru kepada semua penjawat awam supaya tidak terpengaruh dengan sebarang surat sokongan sebagai satu arahan daripada ahli politik.

“Mereka perlu membuat keputusan bersandarkan merit dan jangan mempedulikan surat-surat berkenaan sekiranya tidak mahu bertanggungjawab,” ujarnya.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan