"Ringkaskan Penghakiman Bertulis Daripada 100 Kepada 5 Muka Surat"

Diterbitkan: Selasa, 27 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Para hakim dan majistret diingatkan supaya tidak berlengah-lengah dengan menulis penghakiman terlalu panjang sehingga boleh membantutkan usaha badan kehakiman melupuskan kes tertunggak.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berkata perkembangan terkini dalam badan kehakiman tidak menggalakkan para hakim menulis penghakiman terlalu panjang berbanding sebelum ini kerana ia akan menyebabkan hakim terpaksa mengambil masa agak lama bagi membuat persediaan.

"Saya menggalakkan hakim ringkaskan penghakiman mereka, daripada 100 muka surat kurangkan kepada lima atau sepuluh muka surat," katanya semasa memberikan taklimat di Istana Kehakiman di sini kepada delegasi yang disertai presiden dan persatuan undang-undang dari negara Asia Pasifik.

Beliau berkata, tidak perlu dimasukkan fakta kes dalam penghakiman kerana ia telah terkandung dalam afidavit dan rekod rayuan.

Zaki berkata hakim juga sepatutnya hanya perlu menumpukan terhadap isu yang dipertikaikan pihak-pihak dalam sesuatu prosiding mahkamah.

Bagaimanapun, Zaki berpendapat bahawa terpulang kepada hakim untuk menulis penghakiman " yang cantik dan subur" tetapi mereka tidak harus berlengah-lengah dalam menyediakannya.

"Kami akan memantau. Hakim Besar Malaya tidak akan meluluskan cuti jika seseorang hakim tidak menyiapkan penghakimannya," katanya.

Ketua Hakim itu memberi taklimat bertajuk "Badan Kehakiman Malaysia: Prestasi, Pencapaian dan Cadangan Masa Depan" kepada delegasi 80 orang diikuti sesi soal jawab.

Beliau berkata, kebanyakan hakim dan majistret takut menulis penghakiman pendek tetapi rakan sejawatan mereka dari negara lain sudahpun berbuat demikian.

Zaki berkata, beliau sudah membaca penghakiman dari Mahkamah Agung New Zealand yang hanya setengah muka surat dan kebanyakan hakim di Amerika Syarikat juga menulis penghakiman pendek.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria berkata hanya beberapa hakim yang masih tertangguh dalam menyediakan penghakiman.

Pada sidang akhbar selepas taklimat itu, Zaki kekal dengan pendirian tegas dalam membenarkan penangguhan kes.

Beliau berkata, kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit jika sesuatu kes ditangguhkan.

Mengenai pelupusan kes secara cepat dan cekap yang didakwa memberi kesan terhadap keadilan, ketua hakim itu menjawab ia adalah sebaliknya kerana kelewatan melupuskan kes akan menyebabkan berlaku ketidakadilan terhadap pihak terbabit terutamanya tertuduh dalam kes jenayah yang terpaksa meringkuk dalam penjara bagi tempoh lima hingga tujuh tahun sebelum kesnya didengar dan dilupuskan.

Beliau berkata, badan kehakiman kini berusaha melupuskan semua kes tertunggak, meningkatkan kecekapan serta mengurangkan jumlah hakim, sekaligus menjimatkan wang kerajaan.

Zaki berkata, dianggarkan sejumlah RM1 juta dibelanjakan untuk seorang hakim setiap tahun termasuk gaji, setiausaha, pendaftar selain perbelanjaan pejabat.

"JIka saya boleh jimatkan seorang hakim, kerajaan juga akan menjimatkan RM1 juta setiap tahun," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan