Kerajaan Negeri Selangor Ibarat 'Ayam Bertelur Sebiji, Riuh Sekampung',Kata Noh

Diterbitkan: Selasa, 27 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar mengibaratkan kerajaan negeri Selangor seperti "ayam bertelur sebiji riuh sekampung" dalam mempromosikan keberkesanan pentadbirannya.

Beliau berkata kerajaan negeri Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbelanja lebih untuk promosi dan publisiti sehingga rakyat mudah terpengaruh.

"Kelemahan kita (Barisan Nasional) pula kurang buat promosi," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu kepada pemberita selepas melancarkan Program Anak Angkat Lepasan Siswazah Tani Universiti Pertanian Malaysia di sini, Selasa.

Noh mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilaporkan akan memperuntukkan RM15 juta bagi program penerangan kepada rakyat negeri itu.

Dilaporkan peruntukan RM15 juta tersebut dikatakan bersamaan dengan RM3 untuk setiap 5.2 juta penduduk Selangor di mana dana itu akan digunakan untuk menyebarkan maklumat melalui portal TVSelangor, Selangor Kini dan juga akhbarnya.

"Mengapa guna duit rakyat untuk tipu rakyat? Tetapi saya tidak hairan kalau peruntukkan itu RM50 juta atau RM100 juta sekalipun. Ia memang kaedah mereka untuk bercakap, berkempen untuk kelirukan rakyat," katanya.

Noh berkata kaedah promosi PKR itu juga boleh disamakan seperti sebuah syarikat besar yang berbelanja besar bagi produk mereka.

"Barang kalau lebih iklan, barang tak berkualiti pun akan buat orang terpengaruh. Lihat saja barangan syarikat besar cukup mudah dikenali kerana belanja promosi yang besar tetapi kualiti belum tentu.

"Bagi syarikat kecil pula walau kualiti barangan bagus tetapi tiada duit untuk buat iklan, hanya bergantung pada kementerian untuk promosi, maka walau produk bagus sekalipun, ia tidak akan begitu dikenali.

"Begitu juga politik. Pembangkang tak buat apa-apa tetapi kerana promosi lebih, rakyat nampak seolah-olah Kerajaan Negeri Selangor buat kerja untuk pembangunan rakyat. Tetapi kalau anda pergi "on the ground" apa yang kerajaan PKR telah buat," katanya.

Beliau berkata PKR sedang membawa budaya tidak ikhlas, budaya menunjuk-nunjuk, budaya menghebahkan apa yang telah dibuat.

"Selama empat penggal menjadi wakil rakyat, saya rasa malu, rasa tidak ikhlas kalau saya uar-uarkan apa yang saya buat. Kita ikut prinsip Islam, tangan kanan memberi, tangan kiri tak tahu," kata Noh. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan