Pengerusi Disiplin PAS Minta Semua Pihak Henti Salahkan Dr Hasan Ali

Diterbitkan: Isnin, 26 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta semua pihak supaya berhenti daripada terus menuding jari ke arah Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang didakwa mengadakan perbincangan secara sulit dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung kerjasama Umno-PAS.

Tuan Ibrahim berkata, persepsi negatif dan sebarang bentuk gesaan termasuk supaya Hasan melepaskan jawatan perlu dihentikan serta-merta kerana pertemuan itu hanya berkisar mengenai kemajuan dan kesejahteraan umat Islam di Negeri Selangor dan bukannya berkaitan kerjasama politik Umno-PAS.

Malah beliau berkata, tiada tindakan disiplin akan diambil keatas Hasan kerana tindakannya menemui Harussani berhubung isu kepentingan umat Islam dan perpaduan Melayu tidak melanggar prinsip dan perjuangan PAS.

"Datuk Dr Hasan tak melakukan kesalahan, malah pertemuan itu tidak mewakili PAS secara dasarnya dan yang penting ia bukan bagi membincangkan mengenai perpaduan Umno-PAS.

"Ia adalah pertemuan biasa seorang wakil kerajaan negeri dengan seorang mufti... susah lah macam ni kalau kita tak boleh bertemu dengan sesiapa langsung," katanya kepada mStar Online di sini pada Isnin.

Sebelum ini Harussani berkata beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak tidak menyenanginya.

Malah beliau turut mendedahkan bahawa terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu iaitu Umno dan PAS datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Susulan itu, Hassan mengakui ada menemui Harussani tetapi menafikan pertemuan mereka menyentuh soal kerjasama politik Umno-PAS sebaliknya bagi pihak kerajaan negeri Selangor atas kedudukannya sebagai exco yang menjaga hal ehwal Islam dan adat Melayu.

Ditanya sama ada PAS Pusat atau Jawatankuasa Disiplin akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Hasan berhubung pertemuan berkenaan, Tuan Ibrahim berkata: "Tak ada keperluan untuk kita dapatkan penjelasan lanjut, beliau sendiri mengaku tidak bincang tentang kerjasama umno-PAS, jadi tak perlulah kita besar-besarkan isu ini lagi."

Bagaimanapun Tuan Ibrahim turut menasihatkan semua pimpinan dan ahli PAS supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan mereka agar tidak menimbulkan salah faham di kalangan ahli.

"Kita tak pernah halang pemimpin dan ahli kita untuk bertemu dan berbincang dengan sesiapa sahaja untuk kepentingan masyarakat seperti hal ekonomi mahupun sosial, asalkan ia bukan mengenai perpaduan politik PAS-Umno," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan