Garis Panduan Konsep 'Gated Community' Sedang Dirancang

Diterbitkan: Isnin, 26 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membentang satu kertas kerja mengenai konsep "gated community" dan "guarded neighbourhood" yang kian popular ketika kini kepada kabinet, bagi membolehkan satu garis panduan yang lebih sistematik dirangka dan diguna pakai khusus buat kedua-dua konsep kediaman itu.

Menterinya Datuk Chor Chee Heung berkata pihaknya sedang mengusahakan kertas kerja yang berbentuk memorandum itu untuk dibentang kepada Jemaah Kabinet sama ada minggu ini atau minggu depan.

Beliau berkata perkara itu mendapat perhatian pihak kementerian kerana ia turut mempunyai kaitan dengan objektif kementerian untuk mewujudkan sebuah bandar yang selamat.

"Ia memerlukan satu garis panduan yang bukan saja berkesan tetapi juga menepati undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT). Kalau tidak, ia akan menjadi satu keadaan yang tidak tersusun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat pegawai kanan perancang bandar dan desa Malaysia ke-24 dan pelancaran buku program bandar selamat 2010 di sini hari ini.

Sementara itu Chor berkata dalam usaha memperkasa program bandar selamat, pihak kementerian mengagih peruntukan RM36 juta kepada 12 PBT yang mencatatkan kadar jenayah jalanan tertinggi bagi melaksanakan enam langkah segera pencegahan jenayah di lokasi yang dianggap "hot spot".

Daripada jumlah itu, RM31 juta akan digunakan khusus untuk pencahayaan, pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan bermotor, penggera keselamatan serta pembersihan kawasan semak samun, cermin keselamatan dan pemasangan CCTV.

Baki RM5 juta akan digunakan untuk membangunkan pemetaan GIS jenayah (crime mapping geographic information system) dengan kerjasama polis.

Chor berkata kemudahan-kemudahan ini dijangka dapat diimplementasikan hujung tahun ini.

Dua belas PBT yang terlibat dalam projek ini ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaraan Ampang Jaya.

PBT lain ialah Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan