MP Kota Marudu Laksana Program Daftar Penduduk Pedalaman Mulai Esok

Diterbitkan: Ahad, 25 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA MARUDU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pejabat Anggota Parlimen Kota Marudu akan menjalankan program pendaftaran kelahiran dan kad pengenalan masyarakat pedalaman di kawasan itu bermula Isnin.

Program dua hari itu akan diadakan di Kampung Damai di Tandek dan Kampung Melangkap di Marak Parak, kata Anggota Parlimennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ini merupakan siri kelapan sejak program diadakan pada 2002, kata Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, di sini Ahad.

Katanya, sehingga kini lebih 10,000 penduduk yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di kawasan parlimen itu telah menerima sijil kelahiran dan kad pengenalan masing-masing.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti penduduk di pedalaman meliputi kawasan tanah tinggi dan pantai belum memiliki dokumen pengenalan diri kerana tinggal jauh terpencil.

"Program khas ini ini akan membantu mereka memperolehi dokumen tersebut kerana tanpanya mereka dan anak-anak mereka akan menghadapi masalah termasuk status kewarganegaraan mereka dipertikai," katanya.

Ongkili berkata beliau telah membelanjakan RM300,000 daripada peruntukannya sebagai anggota Parlimen untuk menangani masalah tersebut.

"Saya menggesa mereka yang telah dikenal pasti belum mempunyai dokumen pengenalan diri agar tampil dan mendaftarkan diri sepanjang program dua hari ini," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan