JPJ Kenalpasti Jalan "Sakaratulmaut"

Diterbitkan: Ahad, 25 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mengenalpasti jalan-jalan raya yang bakal dilabelkan sebagai jalan "sakaratulmaut" dalam usaha membendung kemalangan jalan raya di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Salim Parlan berkata usaha itu dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bila selesai akan memudahkan pemantauan secara lebih berkesan.

"Pihak JPJ dan MIROS akan menamakan jalan tersebut sebagai laluan atau jalan sakaratulmaut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang mewakili Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan merasmikan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) peringkat negeri Pahang, di Felda Jengka 25, di sini.

Menurut Salim, pemantauan yang lebih bersepadu di laluan atau jalan "sakaratulmaut" itu diharapkan akan dapat mengubah sikap pengguna jalan raya di negara ini agar lebih berhemah dan bersopan di jalan raya serta lebih menghargai nyawa semua pihak.

Salim berkata pihak JPJ kelak akan membuat rondaan dan pengawasan 24 jam di laluan atau jalan "sakaratulmaut" terbabit.

"Setakat ini kita belum kenalpasti berapa jumlah sebenar laluan sakaratulmaut itu, dan operasi bersepadu 24 jam akan dilaksanakan menjelang musim pra-perayaan Aidilfitri nanti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Salim berkata pihak JPJ, polis, dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga akan memberikan penumpuan operasi di terminal-terminal bas di seluruh negara menjelang musim perayaan nanti bagi memastikan keselamatan penumpang kenderaan awam di musim perayaan.

"JPJ akan memeriksa semua sistem keselamatan bas ekspres seperti brek, lesen pemandu bas, cukai jalan, pemeriksaan Puspakom dan sebagainya bagi menjamin keselamatan penumpang.

"Polis dan AADK pula akan memastikan pemandu bas ekspres tidak terlibat dengan pengambilan dadah serta di bawah pengaruh minuman keras," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan