Harussani Perlu Minta Maaf - PAS

Diterbitkan: Ahad, 25 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dituntut supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada PAS ekoran dakwaan terdapat pemimpin parti itu mengadakan pertemuan dengannya bagi membincangkan mengenai perpaduan Umno-PAS.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu perlu bagi membersihkan nama Harussani sendiri sebagai seorang tokoh agama yang tidak boleh berbohong.

"Sebagai mufti beliau tak boleh berbohong, beliau patut minta maaf sekiranya telah melakukan kesilapan yang sengaja ataupun secara tidak sengaja dalam isu ini.

"Bagi PAS kami tak ada masalah, kami sedia memaafkan beliau, mungkin sebelum ini beliau terlalu sayangkan Umno hingga terpaksa melakukan pembohongan berkenaan," katanya kepada mStar Online di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pengakuan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang pernah mengadakan pertemuan dengan Harussani bagi memperolehi kebaikan bersama demi kemajuan dan kesejahteraan umat Islam.

Hasan bagaimanapun menafikan dakwaan kononnya pertemuan itu ada kaitan dengan isu perpaduan antara Umno-PAS.

Harussani baru-baru ini berkata beliau bersedia membantu ke arah menyatukan umat Islam dan orang Melayu selepas didatangi oleh beberapa pemimpin yang meminta pandangan beliau berhubung cara menyatupadukan PAS dan Umno.

Sehubungan itu Mahfuz berkata, pengakuan Hasan itu sekaligus membuktikan dakwaan Harussani sebelum ini adalah satu bentuk fitnah yang sengaja dicipta bagi mewujudkan persepsi negatif kepada PAS dalam Pakatan Rakyat.

"Ternyata tindakan Harussani adalah satu fitnah sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja yang boleh merosakkan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat.

"Jelas sekali Harussani dan Umno sengaja nak mewujudkan persepsi bahawa pimpinan PAS mempunyai agenda politik peribadi dengan membelakangkan Pakatan Rakyat apabila kononnya kami (PAS) dalam diam jalinkan kerjasama dengan Umno," katanya.

Ditanya kemungkinan pemimpin yang dimaksudkan oleh Harussani itu bukanlah Hasan, Mahfuz berkata: "Kalau bukan Datuk Dr Hasan, beliau perlu nyatakan siapa orang itu.

"Jangan main sembunyi-sembunyi... dedahkan nama pemimpin yang beliau maksudkan itu."

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan