F1 World Nation Cup Powerboat Series Buka Ibu Pajabat di Putrajaya

Diterbitkan: Ahad, 25 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Promoter F1 World Nations Cup Powerboat Series yang berpangkalan di Itali bercadang untuk menjadikan Putrajaya sebagai ibu pejabat mereka di rantau Asia.

Mengumumkan demikian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, promoter berkenaan melahirkan hasrat itu setelah membuat kunjungan ke Pusat Maritim, Presint 6 di sini, baru-baru ini.

Promoter berkenaan adalah juga pemegang hak Kejohanan Dunia Formula Future.

"Saya berharap semua pihak akan bersama-sama membantu untuk menjayakan usaha ini yang dilihat bakal melonjakkan nama negara dan Putrajaya khasnya, sebagai pusat sukan air permotoran utama di rantau ini," kata beliau ketika menutup Kejohanan Formula Future Kebangsaan 2010 di Taman Botani, di sini Ahad.

Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada 10 pilot, berumur dari 7 hingga 18 tahun, yang menang dan terpilih untuk mewakili negara ke Kejohanan Dunia Formula Future 2010 di England pada 13 hingga 15 Ogos depan.

Beliau berharap mereka akan menempa kejayaan dan mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan akan membina Pusat Sukan Satelit (PSS) di sekolah-sekolah di setiap negeri bagi mencungkil bakat sukan bermula dari peringkat sekolah rendah di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Katanya, PSS juga akan berperanan untuk mendedahkan atlet dan jurulatih tentang perkembangan sains sukan, pemakanan, perubatan dan penyelidikan sukan bagi melahirkan atlet kelas dunia.

"Kewujudan PSS ini penting untuk memberikan sokongan kepada atlet dan jurulatih di peringkat akar umbi," ujar beliau.

Beliau berkata kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Belia dan Sukan akan dipertingkatkan untuk menyediakan platform menggalakkan penglibatan para pelajar dalam bidang sukan.

Katanya, langkah itu bukan hanya kepada sukan teras seperti berbasikal, bola sepak, acara terjun, wushu, badminton, olahraga dan squash, tetapi juga kepada sukan yang berteraskan pertandingan seperti sukan air permotoran Formula Future. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan