SPRM Bantu Siasatan Rasuah Di Australia - Berita Semasa | mStar

SPRM Bantu Siasatan Rasuah Di Australia

Diterbitkan: Sabtu, 24 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menemu bual seorang ahli perniagaan Malaysia yang didakwa menjadi orang tengah bagi firma wang kertas bagi Reserve Bank of Australia's (RBA), Securency dan Note Printing Australia antara akhir 1990-an dan 2007, demikian dilaporkan di sini.

Akhbar The Age melaporkan nota daripada temu bual itu yang diadakan di Kuala Lumpur telah dihantar kepada pasukan penyiasat Polis Persekutuan Australia (AFP) sama ada eksekutif dua anak syarikat RBA itu telah melanggar undang-undang pencegahan rasuah kerana mereka mempunyai pengetahuan mengenai pembayaran yang dibuat kepada pegawai-pegawai asing untuk membantu memenangi kontrak membekalkan dan menerbitkan wang kertas.

RBA memiliki separuh daripada Securency dan memiliki sepenuhnya Note Printing Australia.

Pengarah-pengarah yang dilantik RBA bertanggungjawab menyelia firma berkenaan, termasuk semasa tempoh rasuah itu didakwa berlaku.

Seorang sumber yang tahu mengenai penyiasatan SPRM itu memberitahu akhbar berkenaan bahawa orang tengah itu, yang tidak dinamakan atas sebab undang-undang, memberikan butiran mengenai komisen A$4 juta yang diterimanya daripada Securency dan Note Printing Australia.

Orang tengah itu didakwa dibayar wang itu untuk membantu kedua-dua firma RBA itu memenangi kontrak pembekalan dan penerbitan mata wang di Malaysia.

Lelaki itu juga menjadi broker bagi kilang senjata kerajaan Pakistan, menurut akhbar itu.

Perkembangan di Malaysia itu memperkukuhkan petunjuk bahawa penyiasatan AFP akan membawa Australia membuat pendakwaan pertama kes rasuah membabitkan pegawai di luar negara berikutan perubahan dilakukan terhadap Kanun Jenayah Komanwel pada 1999, menurut akhbar itu.

Dilaporkan pada bulan lepas, Pengarah Pendakwa Raya Australia telah diminta menimbangkan sama ada AFP mempunyai bukti mencukupi untuk mengemukakan pertuduhan jenayah dalam kes itu.

Pegawai kanan AFP Pesuruhjaya Tony Negus baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan pegawai SPRM dan mereka dipercayai membincangkan penyiasatan mengenai Securency, menurut akhbar itu.

Securency telah disiasat oleh AFP sejak Mei tahun lalu selepas didedahkan bahawa bayaran pada amaun besar telah dibuat kepada orang tengah asing.

AFP menyiasat Securency atas dakwaan merasuah pegawai di negara-engara termasuk Nigeria, Malaysia dan Vietnam, di mana ia didakwa membayar jutaan dollar kepada orang tengah selepas diberikan kontrak membekalkan wang kertas.

Mengikut undang-undang Australia, adalah satu kesalahan jenayah bagi syarikat atau individu membayar pegawai asing bagi mendapatkan faedah dalam perniagaan.

Hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda pada jumlah besar jika disabitkan kesalahan. Audit luaran yang dilakukan oleh RBA pada Mac mendapati Securency membayar A$47.5 juta sebagai komisen kepada ejen-ejen rangkaiannya antara Januari 2003 dan Januari tahun lepas. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan