Pengusaha Hotel Wajar Dapatkan Sijil Halal

Diterbitkan: Sabtu, 24 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Adalah baik bagi pengusaha hotel yang mempromosi pelbagai juadah di bulan Ramadan agar memohon dan mematuhi sijil halal supaya tidak menimbulkan sebarang syak wasangka di kalangan umat Islam, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata nasihat Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz semalam perlu diberi perhatian pengusaha, baik hotel atau restoran.

"Kalau hotel, ia mesti asingkan dia punya kitchen (dapur) yang halal dan kitchen yang bukan halal. Kalau itu dibuat barulah tidak timbul prasangkan bahawa ini tidak halal.

Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan banyak hotel ambil kesempatan mempromosi makanan.

"Jadi untuk mengelak itu (prasangka) saya fikir elok mereka bukan saja mohon kepada Jakim tapi mereka harus patuh. Kalau sudah halal dia mesti comply (patuh)dan kalau belum halal kena pohon sijil halal," katanya mengulas kenyataan Wan Mohammad itu.

Wan Mohammad berkata Jakim menggalakkan pengusaha hotel memohon sijil halal sebelum Ramadan ini bagi menjamin keselesaan umat Islam berbuka puasa di premis mereka.

"(Adalah baik) bukan sahaja waktu musim puasa tapi sepanjang masa. Kalau mereka kata produk dan makanan yang mereka masak itu halal...dia mesti ada sijil itu yang dikeluar oleh Jakim yang mengesahkan produk atau perkhidmatan mereka itu halal".

"Kalau itu dipamerkan masyarakat Islam tidak syak wasangka bahawa benar-benar ini adalah produk halal kerana sudah disahkan," kata Muhyiddin.

Menjawab satu soalan, Muhyiddin berkata ikut undang-undang perkara ini tidak diwajibkan pada masa sekarang.

Namun, katanya, kalau sudah diisytiharkan sesuatu itu sudah halal, mereka ia perlu halal, kalau tidak boleh dihukum di bawah peraturan sedia ada.

Terdahulu, beliau melancarkan Karnival Usahawan Desa 2010 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, di sini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan