MIC Sasar Sejuta Pengundi India Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13

Diterbitkan: Sabtu, 24 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MIC akan memastikan sekurang-kurangnya sejuta pengundi India dapat mengundi pada pilihan raya umum ke-13 nanti, kata presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini.

Daripada sejuta pengundi India yang layak mengundi, seramai 840,000 orang telahpun berdaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini, katanya.

Beliau berkata MIC akan berusaha mendaftar 100,000 lagi pengundi, yang merupakan sebahagian daripada 500,000 ahli MIC yang dikenal pasti belum lagi mendaftar dengan SPR, sebelum akhir Oktober ini.

Selain itu, MIC juga akan memastikan seramai 60,000 lagi pengundi India yang layak mendaftar didaftarkan dengan SPR sebelum November tahun ini, katanya.

"Saya berpendapat bahawa jika kita (MIC) dapat menguasai sokongan pengundi-pengundi India sebelum pihak-pihak lain dapat berbuat demikian, mereka akan menjadi penyokong kedua terbesar kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang," kata beliau ketika merasmikan Seminar Pendaftaran Pengundi Baru untuk Ketua-ketua Bahagian MIC di sini.

Samy Vellu berkata berdasarkan senarai pendaftaran pengundi-pengundi baru oleh parti-parti politik dari tempoh Januari hingga Jun 2010, UMNO dan DAP masing-masing telah mendaftarkan lebih daripada 50,000 orang pengundi baru, manakala MIC hanya dapat mendaftar 1,109 pengundi baru dalam tempoh yang sama.

"Ia jelas menunjukkan bahawa wujud kelemahan dalam kepimpinan di peringkat cawangan (MIC) dan peringkat tertinggi lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata MIC akan melancarkan kempen pendaftaran pengundi baru di seluruh negara dan pada masa yang sama, meminta SPR menambahkan bilangan Penolong Pendaftar SPR dari kalangan pemimpin MIC di peringkat bahagian, cawangan dan pergerakan Wanita dan Pemuda.

Katanya, MIC kini mempunyai seramai 213 orang Penolong Pendaftar SPR yang terdiri daripada sembilan orang ketua bahagian; 87 ketua cawangan; 17 dari pergerakan Wanita; 12 dari pergerakan Pemuda dan lain-lain seramai 88 orang.

Beliau percaya bahawa berdasarkan senario politik negara hari ini, pengundi India akan memainkan peranan amat penting dalam pilihan raya umum ke-13.

"Saya (masih) berpegang kepada pendapat bahawa masyarakat India umumnya adalah penyokong kuat BN dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana Menteri kita telah berkomunikasi secara berterusan dengan masyarakat India dalam usaha menambahkan sokongan mereka terhadap BN.

"Hasrat kita adalah untuk memastikan parti kita terus kuat dan stabil untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Najib dan BN pada setiap masa," katanya.

Jika BN lemah, katanya, MIC tidak akan mempunyai kekuatan atau sumber-sumber untuk menyediakan sokongan tersebut dan juga tidak akan mempunyai saluran untuk menyampaikan masalah yang dihadapi masyarakat India.

Oleh itu, Samy Vellu berpendapat MIC perlu melakukan transformasi dan perubahan terhadap Bahagian dan Cawangan parti itu bagi menghadapi cabaran politik semasa.

"Tidak lama lagi MIC akan ada transformasi pemimpin atasan, pemimpin baru akan ambil alih. Ini bukan bererti saya akan tidur sampai dia ambil alih.

"Orang baru itu mesti tahu cabaran-cabaran yang sedia ada dalam parti itu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan