Pengelola Istana Kelantan Kurang Senang Teguran Dr Amir

Diterbitkan: Jumaat, 23 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Pejabat Sultan Kelantan pada Jumaat mengingatkan mana-mana "individu luar" agar tidak mencampuri urusan Istana Kelantan dengan membuat kenyataan yang bukan dalam bidang kuasa mereka.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata kenyataan oleh Kolonel Dr Amir Ramli yang disebut sebagai Pakar Perubatan Sultan Kelantan, dalam beberapa akhbar sebelum ini, adalah tidak bersesuaian sama sekali.

"Adalah tidak wajar beliau memberi teguran melalui media dan arahan kepada pegawai yang bukan di bawah kawalan beliau.

Peringatan yang diberikan Dr Amir adalah baik, bagaimanapun ia tidak sesuai kerana Dr Amir bukanlah kakitangan Pejabat Sultan Kelantan dan saya tidak bertanggungjawab kepadanya dalam menjalankan tugas," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Amir sebelum ini telah meminta Abdul Halim agar tidak membuat sebarang kenyataan akhbar mengenai kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Mengulas perkara itu Abdul Halim berkata sehingga kini pejabat itu tidak menerima sebarang surat daripada pihak tertinggi Angkatan Tentera Malaysia yang menyatakan Dr Amir telah ditempatkan di pejabat tersebut.

"Teguran beliau boleh menimbulkan persoalan 'siapa beliau' sedangkan tidak ada sebarang pelantikan secara rasmi sebelum ini," katanya.

Abdul Halim berkata beliau selaku Pengelola Istana sebenarnya langsung tidak berhasrat membuat kenyataan mengenai tahap kesihatan baginda dan apa yang dilakukannya sebelum ini hanya mengikut titah.

Katanya tuduhan kononnya beliau dan pegawai istana yang lain tidak menjenguk baginda di istana juga tidak wajar kerana apa yang dilakukan adalah berdasarkan kepada keperluan dari semasa ke semasa.

"Kita perlu memahami latar belakang yang berlaku dalam keluarga diraja dan apakah sumbangan yang boleh kita berikan.

"Sebagai ketua di pejabat Sultan Kelantan. saya akan menghadap Tuanku apabila ada masa yang sesuai atau dititah oleh tuanku," katanya.

Abdul Halim juga mengingatkan Dr Amir tidak menghuraikan hal ehwal kewangan kerajaan seperti urusan pembayaran bil hospital kepada akhbar kerana itu tidak wajar.

Pada 15 Julai lepas Tuanku Ismail Petra berangkat ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk rawatan susulan bagi penyakit jantung baginda dan pulang Rabu lepas. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan