Pengeluaran Pasir Di Sungai Ular Terlalu Hampir Dengan Jalan Raya

Diterbitkan: Khamis, 22 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KULIM: Kerajaan Kedah dan jabatan-jabatan yang berkaitan diminta mengkaji semula permit yang dikeluarkan bagi kegiatan mengeluarkan pasir di Sungai Ular, antara KM 8 dan KM 12 Jalan Kulim-Serdang dekat sini kerana kedudukannya yang hampir dengan laluan itu.

Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kulim/Bandar Baharu, Chua Teng Ghee berkata, aktiviti pengeluaran pasir itu perlu dikaji semula bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku kepada jalan yang berhampiran sungai itu kerana perkara yang hampir serupa pernah berlaku sebelum ini.

"Kisah dulu telah ditutup dan pengeluaran permit yang baru ini pun kita tidak bantah tetapi kerajaan negeri dan jabatan-jabatan bertanggungjawab sewajarnya mengkaji sedalam-dalamnya mengenai akibat susulannya kerana kawasan tersebut amat dekat dengan aliran jalan raya Kulim-Serdang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jalan itu adalah satu-satunya jalan yang paling dekat dan mudah untuk penduduk di kedua-dua daerah iaitu Kulim dan Bandar Baharu.

Chua, yang juga Ketua MCA Bahagian Kulim/Bandar Baharu berkata, pada satu mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah Kulim yang dihadirinya tempoh hari, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Pejabat Tanah diberitahu mengenai masalah itu.

JPS Daerah Kulim/Bandar Baharu menjelaskan bahawa pengeluaran pasir di sungai itu dilakukan di tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan JPS tidak banyak kuasa untuk menghalangnya.

Jurutera Daerah JPS, Mohd Khuzai Khussani berkata, permit pengeluaran pasir itu dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian (PTG) Negeri Kedah dan aktiviti itu sudah berjalan sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, pihaknya berada dalam keadaan dilema kerana pemilik tanah sekitar iaitu PKNK melalui anak syarikatnya Kulim Hi-Tech Park Corporation (KTPC) memohon mengeluarkan pasir dari kawasan sungai di situ untuk kegunaan pihak berkenaan.

"Kawasan tersebut yang dulunya dikenali sebagai Ladang Sungai Ular milik sebuah syarikat telah dijual kepada anak syarikat PKNK itu untuk meluaskan kawasan Taman Teknologi Tinggi Kulim," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Khuzai berkata, walaupun JPS cuba menghalang dengan alasan kegiatan itu kelak akan merosakkan eko-sistem persekitaran dan menyebabkan tanah runtuh di tebing jalan raya tetapi memandangkan kawasan tersebut adalah milik PKNK, "JPS terpaksa mengalah".

Tinjauan di lokasi aktiviti itu hari ini mendapati beberapa pekerja dan dua jentera jengkaut sedang menjalankan kerja mengorek pasir di aliran Sungai Ular yang selari dengan aliran jalan raya di KM 10 hingga KM 12 kerana terdapat beberapa longgokan pasir di tebing sungai berkenaan.

Di KM 7 iaitu berhampiran sebuah kuil India terdapat bekas pasir sungai disedut hingga ke tebingnya dengan aliran jalan raya tidak sampai tiga meter. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan