Umno Parti Melayu Yang Terbesar, Kata Najib

Diterbitkan: Rabu, 21 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umno merupakan parti Melayu yang terbesar dengan jumlah keanggotaan terus meningkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib yang juga Presiden Umno berkata keanggotaan Umno kini mencecah 3,186,850 orang dan pelbagai usaha berterusan dijalankan untuk menambah bilangan keanggotaan.

"(Jumlah) ini selepas ditolak anggota yang sudah meninggal dan tak dapat dikesan. Ini jumlah yang sahih. Dan kita dapati jumlah ini terus meningkat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini petang Rabu.

Najib turut menyangkal dakwaan bahawa ada orang Melayu yang "meluat" dengan Umno.

"Siapa kata? Itu tak betul. Saya tak dapat terima ada yang kata meluat pada Umno. Kita parti yang terbesar mewakili orang Melayu," tegasnya.

Najib juga memberitahu pemberita bahawa mesyuarat MT hari ini turut menerima laporan bahawa mesyuarat bahagian-bahagian berjalan lancar dan teratur.

Sehingga kini, sebanyak 189 daripada 191 bahagian telah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan