Malaysian Insider: Kalimullah Jelaskan Dia Tidak Pernah Dapat Sebarang Kontrak Kerajaan

Diterbitkan: Rabu, 21 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Wartawan veteran yang juga ahli perniagaan, Datuk Kalimullah Hassan hari ini menegaskan bahawa beliau tidak pernah terbabit dalam apa jua cara dengan pembentukan sebuah portal berita iaitu Malaysian Insider.

"Saya juga bukan seorang pengarah Efficient E Solutions di mana saya telah berhenti pada 21 Jun, 2006. Saya tidak pernah mendapat sebarang kontrak kerajaan sepanjang hidup saya dan bukan seorang pemegang saham dalam VPI International," katanya sebagai respons berhubung dakwaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), sebuah badan bukan kerajaan, semalam.

JMM telah mendakwa bahawa penaja Malaysian Insider telah menggunakan wang yang diperolehi daripada kontrak kerajaan untuk menaja laman portal berkenaan yang kemudiannya banyak mengkritik kerajaan dan institusi raja-raja.

Dakwaan JMM itu berdasarkan Effeicient E-Solution juga mempunyai kepentingan 20 peratus dalam VPI International, yang telah mendapatkan kontrak perkhidmatan pengimejan dan pengimbasan pengumpulan data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kalimullah berkata, "Jika JMM mempunyai bukti atas salah laku itu, ia sepatutnya, sebagai sebuah NGO yang bertanggungjawab yang mendapat dana daripada rakyat Malaysia yang berkedudukan tinggi, mengemukakan bukti itu kepada pihak berkuasa, tanpa melengah-lengahkannya lagi."

Beliau juga berharap BERNAMA, sebagai sebuah agensi berita nasional, "di mana saya pernah menjadi pengerusi sebelum ini, akan bertindak secara profesional pada masa depan dan menentukan kesahihan dakwaan itu terlebih dahulu sebelum menerbitkannya." BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan