Kerajaan Utamakan Pemulihan Projek Rumah Kos Rendah Dan Sederhana

Diterbitkan: Rabu, 21 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Kerajaan memberi keutamaan untuk membantu projek-projek terbengkalai membabitkan rumah kos rendah dan sederhana sahaja, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah.

"Kes yang melibatkan swasta seperti projek komersial adalah di luar bidang kuasa kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat projek perumahan dan lot kedai Rasah Kemanyan yang terbengkalai sejak 1996 di sini, Rabu.

Katanya akibat projek rumah kos rendah dan sederhana yang terbengkalai, seramai 33,000 rakyat menanggung kesusahan.

"Ada pembeli yang sudahpun meninggal dunia tetapi kerajaan akan berusaha untuk mencari waris mereka untuk mendapatkan persetujuan supaya projek-projek terbengkalai ini dapat diteruskan," kata Murugiah.

Di seluruh negara, terdapat 152 projek terbengkalai yang sedang dalam perhatian kerajaan.

Murugiah berkata rakyat tidak seharusnya menyalahkan kerajaan apabila berlaku projek terbengkalai kerana ia disebabkan kelemahan pemaju.

"Rakyat kena sedar kerajaan tidak ada kena mengena dengan ini, ini adalah antara pembeli dengan pemaju. Kerajaan nak bantu semua pihak," katanya.

Mesyuarat mengenai projek Rasah Kemanyan itu dipercayai bersetuju supaya projek itu dipulihkan oleh pemaju baru selewat-lewatnya pada penghujung tahun depan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan