Jangan Defensif, Terima Tawaran Perpaduan Umno-PAS

Diterbitkan: Rabu, 21 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: PAS disaran supaya tidak terlalu defensif, sebaliknya menerima tawaran perpaduan ummah yang dihulurkan Umno demi Melayu dan Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi (gambar) berkata, PAS sendiri perlu membuang sifat berkenaan mengenai isu perpaduan Melayu kerana majoriti kaum itu adalah beragama Islam.

"Umno hulur dan tawarkan perpaduan kepada kita (PAS), saya sarankan agar kita tidak perlu menolak tawaran itu, terimalah tawaran untuk perpaduan ummah kerana kita tidak mahu perpecahan.

"Umat Islam mesti bersatu, rata-rata umat Islam adalah Melayu... jadi secara mantiknya Melayu mesti bersatu," katanya di sini pada Rabu.

Bagaimanapun Nasrudin berkata, perpaduan antara PAS-Umno perlu menjadikan Islam sebagai syarat utama.

"Islam menjadi syarat, saya sangat tidak bersetuju dengan pendapat perpaduan tanpa syarat.

"Perpaduan itu hanya berjaya dan diredhai oleh Allah apabila diikat dengan syarat Islam," katanya yang dipetik dari laman blognya episodeperjuangan.blogspot.com.

Melalui entri terbarunya yang bertajuk Perpaduan Melayu: PAS Tidak Perlu Defensif, Nasarudin berkata, perpaduan bangsa Melayu adalah sangat penting namun pada masa yang sama tidak mengabaikan kepentingan kaum lain sejajar dengan syariat Islam.

"Sayang bangsa namun binalah bangsa itu atas agama dan syariat Islam, sayang material tetapi kawal material itu dengan kawalan agama dan syariat Islam serta sayang kuasa tetapi bentuklah kuasa itu dengan acuan agama dan syariat Islam.

"Kalau kita bercakap soal perpaduan, kita tidak boleh hanya bercadang untuk bersatu sesama kita bangsa Melayu atau ummat Islam sahaja sementelah perpaduan sesama ummat Islam itu hukumnya wajib, tetapi juga mesti ada plan dan perancangan berperingkat untuk bersatu bagi semua bangsa dan kaum," katanya.

Selain itu beliau berkata, jika Umno ikhlas dan serius mahukan perpaduan, sewajarnya parti itu menerima syarat iaitu Islam sebagai dasar perjuangan.

"Kita bukan letak syarat supaya Umno bubarkan partinya, cuma kita minta supaya Umno menerima Islam sebagai dasar perjuangan. Sukarkah begitu ? Kalau sukar, maka sukarlah kita ummat Islam mahu bersatu.

"Saat itu nanti jangan lagi dituding PAS tidak mahu perpaduan atau PAS punca perpecahan kerana kita mahukan perpaduan.

"Kita mahu supaya ummat Melayu bersatu padu atas dasar Islam dan perjuangannya, jangan sesiapa mengatakan PAS tidak mahu bersatu padu," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan