Cuepacs Kritik Pekeliling JKR Mengenai Pinjaman Peribadi Dari Bank

Diterbitkan: Rabu, 21 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengkritik pekeliling Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkaitan pinjaman peribadi kakitangannya dari institusi kewangan.

Presiden Cuepacs Omar Osman berkata pekeliling yang dikeluarkan pada Mac tahun ini tidak membenarkan kesemua kakitangan JKR Sarawak mengambil pinjaman peribadi itu sebagai mencipta sejarah tersendiri kerana ia tidak pernah dibuat oleh mana-mana jabatan atau agensi kerajaaan persekutuan dan negeri.

"Ini tindakan tidak betul dan mendorong penjawat awam untuk meminjam wang dengan Ah Long kerana ada yang masih berkelayakan meminjam tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini Rabu.

Beliau berkata, walaupun alasan pekeliling tersebut untuk mengelakkan kakitangan JKR Sarawak menanggung beban hutang yang berat namun kaedah pelaksanaannya tidak sesuai.

"Dengan arahan ini kakitangan JKR Sarawak tidak dapat memohon pinjaman peribadi dari koperasi selain daripada institusi kewangan swasta, bagaimana mereka hendak mendapat bantuan kewangan sekiranya memerlukan kewangan untuk anak mereka melanjutkan pelajaran," katanya.

"Saya dah terima melalui faksimile salinan pekeliling dikeluarkan oleh JKR Sarawak, saya terkejut dan minta JKR Sarawak kaji semula arahan itu secepat mungkin," kata Omar.

Beliau berkata penjawat awam kini sudah ada peraturan berkaitan dengan pinjaman peribadi serta had maksimum pemotongan gaji seperti ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Beliau berkata, yang diperlukan sekarang ialah pemantauan teliti di peringkat jabatan atau agensi dan bukannya sewenang-wenangnya mengeluarkan pekeliling yang tidak mementingkan kebajikan penjawat awam secara jangka panjang.

Mengenai perang mulut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Nik Ali Mat Yunus, beliau berkata, Cuepacs kesal dengan insiden berkenaan dan akan menjalankan siasatan bagi mencari jalan penyelesaian.

"Satu pertemuan dengan Cuepacs cawangan Pulau Pinang akan diadakan masa terdekat untuk mengetahui punca sebenar insiden ini, namun Cuepacs kesal masalah ini tidak diselesaikan secara profesional dan menggunakan media massa untuk memalukan penjawat awam," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan