Tidak Boleh Terburu-buru Buat Keputusan Mansuh UPSR, PMR - Berita Semasa | mStar

Tidak Boleh Terburu-buru Buat Keputusan Mansuh UPSR, PMR

Diterbitkan: Selasa, 20 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GENTING HIGHLANDS: Keputusan mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak boleh dibuat terburu-buru kerana ia merupakan keputusan besar membabitkan masa depan anak-anak bangsa.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata walaupun ketika ini banyak pihak memberi maklum balas positif kepada pemansuhan kedua-dua peperiksaan umum itu, kerajaan perlu menyediakan perancangan alternatif jika ia benar-benar dimasuhkan.

"Pada saya, isu ini tidak boleh diputuskan secara terburu-buru kerana kita perlu teliti semua pandangan sebab ia melibatkan satu keputusan besar membabitkan sistem pendidikan negara yang melibatkan perubahan besar termasuk dari segi logistik.

"Ia turut membabitkan ibu bapa dan masa depan anak-anak...atau dalam kata lain melibatkan kualiti pendidikan negara, jadi ia tidak boleh dibuat terburu-buru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-17 di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini, Selasa.

Mohd Puad berkata dalam membuat keputusan itu, kerajaan juga perlu melihat kemampuan kementerian dari segi penyediaan alternatif atau pilihan lain sekiranya keputusan dibuat untuk memansuhkan peperiksaan itu.

"Apabila melibatkan alternatif, maka persiapan kita dari sudut itu perlu dibincang dan dipertimbangkan," katanya.

Perbincangan meja bulat pertama membabitkan kira-kira 100 warga pendidik terdiri daripada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Pengarah Bahagian di kementerian, Pegawai Pelajaran Daerah, Pengetua, Guru Besar, Kesatuan dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, diadakan di Putrajaya semalam bagi mengumpul pandangan dan input berhubung cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu.

Perbincangan kedua bakal diadakan Selasa depan yang melibatkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan, ahli politik serta pihak lain yang berminat dan berkepentingan dalam isu itu.

Dr Mohd Puad berkata perbincangan itu penting kerana boleh mengelak daripada hanya mendengar dari satu sumber kerana kementerian cukup bimbang jika keputusan yang dibuat kelak boleh menimbulkan kecelaruan.

"Walaupun saya akui kesatuan guru bersetuju pemansuhannya, tetapi itu hanyalah pandangan daripada mereka yang berada dalam bidang pendidikan. Yang pasti kita perlu dengar lebih banyak pandangan daripada pihak luar agar keputusan yang diambil boleh memberi kebaikan kepada semua," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan