Tenaga Nuklear: Kerajaan Belum Buat Keputusan Muktamad

Diterbitkan: Isnin, 19 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat keputusan muktamad mengenai pembangunan teknologi nuklear sebagai pilihan penjanaan elektrik negara selepas mengambilkira hasil kajian yang dibuat dalam menyediakan Pelan Pembangunan Infrastruktur Tenaga Nuklear (NPIDP) yang dijangka siap pada 2013.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, bagi menghasilkan pelan itu kementerian bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknolgi dan Inovasi serta agensi berkaitan bagi menjalankan kajian yang diperlukan untuk mengukur tahap kesediaan dan kemampuan negara.

"Antara aspek yang akan diambil kira dalam pelaksanaan kajian-kajian itu ialah pembangunan sumber manusia, perundangan dan kawal selia, pengenalpastian lokasi dan pembangunan teknologi dan industri," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang meminta kerajaan menyatakan pencapaian negara dalam bidang teknologi dan tenaga nuklear terkini serta rancangan masa hadapan, dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini hari ini.

Dalam melaksanakan kajian berkaitan aspek pembangunan sumber manusia, tahap keupayaan sumber manusia sedia ada dan yang diperlukan bagi menyokong pembangunan kuasa nuklear akan dikenalpasti dan dinilai, katanya.

Strategi dan pelan tindakan pembangunan akan dirancang bagi memenuhi jurang yang wujud termasuk untuk melahirkan sumber manusia yang mencukupi dan kompeten serta melahirkan lebih ramai saintis dan pakar teknologi nuklear.

"Kita sebenarnya telah mempunyai keupayaan sumber manusia dalam bidang nuklear, namun jumlah dan keupayaannya perlu ditingkatkan untuk menyokong pelaksanaan program pembangunan kuasa nuklear," katanya.

Beliau berkata, kajian mengenai pengenalpastian lokasi sesuai untuk pembangunan reaktor nuklear sedang dilaksanakan dan akan mengambilkira ciri-ciri seperti kepadatan penduduk, alam sekitar, hidrologi, seismik, tektonik dan geomografi.

Katanya, elemen keselamatan akan menjadi tunjang jika kerajaan membuat keputusan untuk membangunkan teknologi nuklear dan akan memastikan semua peraturan dan piawaian antarabangsa berkaitan pembangunan teknlogi nuklear digunapakai dan dipatuhi sepenuhnya.

"Kajian penilaian kesan alam sekitar, radiasi dan sosial akan dilaksanakan ke atas tapak yang sesuai yang dikenalpasti bagi memastikan ia selamat dari semua aspek," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan