Pengeluar, Peniaga Setuju Tidak Naikkan Harga Makanan, Minuman - Berita Semasa | mStar

Pengeluar, Peniaga Setuju Tidak Naikkan Harga Makanan, Minuman

Diterbitkan: Isnin, 19 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Harga makanan dan minuman yang mengandungi gula di seluruh negara tidak akan dinaikkan, walaupun harga bahan itu naik 25 sen minggu lepas.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan persatuan terlibat, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, dalam pertemuan itu, lebih 500,000 pengeluar dan peniaga makanan, yang diwakili 34 persatuan komited untuk tidak menaikkan harga makanan dan minuman yang mengandungi gula.

"Saya harap dengan komitmen yang diberikan persatuan pada hari ini akan melegakan pengguna dan mereka boleh melaporkan kepada kementerian jika terdapat sebarang kenaikan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Antara persatuan yang terlibat ialah Persatuan Pemborong Malaysia, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Kumpulan Pengeluaran Makanan Malaysia (MAFMAG), Persatuan Pengilang-Pengilang Roti Malaysia, Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Ismail Sabri berkata, persatuan dan pengeluar makanan itu memahami keperluan kerajaan menstruktur semula subsidi dan mereka sedia menyerap kesan kenaikan harga gula itu kerana ia tidak terlalu tinggi.

Pegawai penguatkuasa dan pemantau kementerian akan sentiasa memantau harga makanan dan minuman bergula di seluruh negara dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika mana-mana pihak didapati menaikkan harga, katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu, Datuk Mohamad Mahmud berkata, beliau menerima langkah kerajaan menaikkan harga gula kerana ia dapat mengelak masalah kekurangan bekalan.

"Daripada kita sukar untuk mendapatkan bekalan, lebih baik kerajaan naikkan harga gula kerana kebanyakan ahli menggunakan gula ini dalam perniagaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, penjelasan juga akan diberi kepada lebih 400,000 anggota persatuan itu supaya mereka tidak menaikkan harga makanan, namun tidak menolak kemungkinan berlaku sedikit penyesuaian dari segi saiz makanan.

Presiden Primas, Datuk R. Ramalingam Pillai berkata, satu edaran akan dibuat kepada lebih 1,300 anggota persatuan itu yang melibatkan lebih 5,000 restoran di seluruh negara untuk memaklumkan mengenai hasil pertemuan hari ini bagi memastikan mereka tidak menaikkan harga makanan dan minuman.

Beliau berkata, walaupun ia akan meningkatkan kos, ia hanya menyebabkan kenaikan yang nominal dan boleh diserap. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan