Peluang Kerjasama Umno-PAS Akan Hilang Jika Tidak Bersungguh-Sungguh: Hishammuddin - Berita Semasa | mStar

Peluang Kerjasama Umno-PAS Akan Hilang Jika Tidak Bersungguh-Sungguh: Hishammuddin

Diterbitkan: Isnin, 19 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peluang untuk mewujudkan kerjasama antara Umno dan PAS yang menjurus kepada perpaduan akan hilang sekiranya kedua-dua pihak masih tidak bersunguh-sungguh ke arah itu.

Hishammuddin berkata, penyatuan itu jelas akan 'dirampas' oleh beberapa pihak yang tidak menginginkan usaha itu berlaku pada masa depan berikutan pendekatan sama ingin dilakukan sebelum ini seringkali terbantut.

"Kadang-kala pertimbangan lain dicampur aduk dengan politik, peribadi dan ego seperti isu keselamatan yang dibincangkan dalam persidangan hari ini dicampur aduk dengan politik dan polemik, akhirnya yang bermaharajela adalah pihak militan (sebagai contoh)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI NAA) Bahagian Asia Pasifik ke-13 di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini bahawa terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Harussani berkata, beliau bagaimanapun menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua pihak.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Umno sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perundingan dengan PAS yang menjurus kepada perpaduan, tetapi itu mestilah dibuat tanpa prasyarat.

Menurut Hishammuddin, keikhlasan dan niat yang suci menjadi faktor penting bagi mewujudkan penyatuan itu dalam usaha untuk memperkasakan umat Islam di negara ini.

"Keikhlasan itu perlu jika hendak duduk semeja dan berbincang mengenai masa depan ummah dan memikirkan cara untuk meniti cabaran dalam persepsi terhadap Islam dan jihad pembangunan ummah.

"Kita tidak boleh dalam satu keadaan hendak duduk semeja tetapi dalam keadaan yang lain masih ada mencaci maki dan menghina antara satu sama lain," katanya.

Menurutnya, perkara itu tidak mungkin menjadi realiti apabila kepentingan politik dan agenda masing-masing masih tidak diketepikan oleh kedua-dua pihak.

Persidangan yang berlangsung selama lima hari itu disertai oleh kira-kira 200 peserta, antara lain akan membincangkan isu kerjasama antarabangsa bagi menangani keganasan dan pemerdagangan manusia di rantau ini.

Pertubuhan itu dianggotai oleh 17,000 anggota penguatkuasa undang-undang profesional dari seluruh dunia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan