PAC P. Pinang Siasat Kes Curi Pasir Di Balik Pulau

Diterbitkan: Isnin, 19 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGETOWN: Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Pulau Pinang akan mengadakan inkuiri untuk menyiasat aktiviti mencuri pasir di Kampung Kenanga, Balik Pulau di sini.

Pengerusinya, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, PAC akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi menentukan pihak yang akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Antara pihak yang mungkin akan dipanggil ialah beberapa agensi kerajaan untuk membantu mencari pihak yang bertanggungjawab dalam aktiviti mencuri pasir itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, PAC akan menyiapkan siasatan itu secepat mungkin bagi mengelak orang ramai membuat pelbagai spekulasi berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya akan turut melawat kawasan terlibat dan siasatan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Jagdeep berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai aktiviti mencuri pasir di kawasan lain di negeri ini.

Minggu lepas, laporan akhbar mendedahkan tapak politeknik di Kampung Kenanga itu, diceroboh pencuri pasir.

Menurut laporan itu, setiap malam berpuluh lori keluar masuk ke kawasan itu mengambil pasir untuk dihantar ke lokasi yang tidak dipastikan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan